PASIR MAS: Suasana di Pasar Tasek Raja di sini, yang dulu suram, kini berubah ceria selepas silingnya dihiasi payung berwarna-warni hasil kreativiti Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM).
Usaha MDPM tersebut benar-benar memberi nilai tambah kepada Pasar Tasek Raja kerana berjaya menarik lebih ramai pengunjung untuk singgah, sekali gus membantu melariskan jualan para peniaga di situ.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peniaga barangan kering, Aziah Che Ismail, 42, berkata, selepas berbulan-bulan tanpa sumber pendapatan, dia lega apabila urus niaga di pasar itu kembali rancak.
Katanya, payung-payung tersebut ibarat ‘pelaris’ kerana semakin ramai pengunjung bertandang ke pasar tersebut untuk membeli-belah sambil merakam gambar kenangan.
“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pendapatan para peniaga di sini terjejas teruk kerana tidak dapat beroperasi seperti biasa.
“Alhamdulillah, selepas MDPM memasang payung-payung ini, kedatangan pelanggan makin bertambah. Perkembangan ini amat baik untuk kami,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Yang Dipertua MDPM, Hazmi Abdul Hamid memberitahu, bagi mencantikkan bahagian siling Pasar Tasek Raja, pihaknya memasang 180 kaki payung pelbagai warna sejak Ogos lalu.- UTUSAN ONLINE