ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan supaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) segera memastikan semua masjid di negeri ini berada dalam keadaan baik khususnya membabitkan sistem pendawaian elektrik.
Baginda bertitah, sistem pendawaian, kabel dan suis elektrik di masjid perlu berada dalam keadaan baik serta mempunyai pemasangan keselamatan kebakaran (PKK) yang sempurna.
Baginda meminta JAIPs bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR), bomba dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya sistem tersebut boleh digunakan pada bila-bila masa khususnya waktu kecemasan sekali gus menjamin keselamatan nyawa dan harta benda.
“Agensi-agensi ini perlu membuat lawatan segera ke masjid-masjid bagi memastikan semua sistem pendawaian, kabel dan suis elektrik berada dalam keadaan yang baik,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ekoran dua kebakaran di masjid di negeri ini iaitu Masjid Al-Taqwa Alor Redis pada hujung September lalu dan Masjid Al-Makmur, Kampung Bongor Kudong, Simpang Empat, kira-kira tiga minggu lalu.
Titah baginda itu disampaikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika meninjau bilik imam yang terbakar baru-baru ini di Masjid Al- Makmur, Kampung Bongor Kudong, Simpang Empat, di sini hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut merasmikan penutupan kempen Oktober Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia peringkat negeri ini anjuran Jabatan Kesihatan negeri dengan kerjasama MAIPs, Yayasan Tuanku Syed Putra dan Yayasan Tuanku Fauziah. – UTUSAN ONLINE