ALOR SETAR: Pas tidak berada dalam dilema untuk memilih mana-mana parti bagi dijadikan gandingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, isu tersebut tidak timbul kerana Pas sebenarnya sedang menjalankan kerja-kerja perdamaian.
Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, kerja-kerja perdamaian itu juga merupakan sesuatu yang amat dituntut dan menjadi kewajipan dalam agama.
“Kita buat kerja-kerja perdamaian, jadi tak bolehlah kata Pas ini rakus kuasa sebab bermain dua kolam. Apa yang dilakukan ini bukan sebab rakus kuasa sebaliknya merupakan kewajipan Pas untuk menyatukan orang Islam.
“Apabila berlaku perbalahan, Allah perintah kita damaikan. Di pihak Pas, kita tidak berada dalam dilema untuk memilih kerana sesiapa saja yang hendakkan penyatuan, boleh bersama kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penutup #Mydigitalmaker Virtual Fair Negeri Kedah (MAIREKA) 2021 di sini hari ini.
Kedudukan Pas ketika ini menjadi perhatian banyak pihak apabila mereka dilihat terikat untuk memilih antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO bagi berdepan PRN Melaka.
Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan, rundingan antara ketiga-tiga parti itu ketika ini masih berjalan selain terdapat perkembangan positif mengenai kerjasama melibatkan kesemua parti tersebut.
Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, penyatuan itu sekiranya benar-benar berlaku diyakini akan membawa keuntungan kepada semua pihak ketika perpecahan pula hanya akan menyebabkan masing-masing mengalami kerugian dan menjadi lemah.
“Tak usah letak kepentingan peribadi di depan. Dalam masa sama, halangan yang ada terhadap penyatuan ini, kita letakkan ke tepi.
“Seperti saya nyatakan sebelum ini, kami tidak hanya akan berada dua kolam malah sanggup berenang di 100 kolam pun demi penyatuan politik Islam dan Melayu.
“Penyatuan ummah ini adalah satu kewajipan buat kita semua,” katanya.- UTUSAN ONLINE