SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berpantun memberi bayangan Pakatan Harapan (PH) bakal kembali menerajui Melaka selepas gabungan itu tersungkur daripada kerajaan ketika Adly Azahari menjadi Ketua Menteri.
Namun, menerusi ciapan dalam Twitternya, beliau cuma memberikan dua baris pembayang dan membiarkan netizen menyambung maksud bagi melengkapkan pantun berkenaan.
“Andai roboh kota Melaka
Papan di Jawa hamba dirikan,
…haa sambung,” ciapnya.
Ciapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu kemudian menarik perhatian netizen, Mior Sharifuddin yang cuba melengkapkan pantun dan memberi maksud pengkhianat punca negara berpecah belah.
“Kalau menebang si pohon jati,
Papan di Jawa dibelah-belah,
Kalau amanah sering dikhianati,
Nescaya negara berpecah belah,” balasnya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan PH Melaka mendakwa kerajaan negeri yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali daripada Barisan Nasional (BN)/UMNO tidak lagi mempunyai majoriti selepas empat ADUN menarik sokongan.
Empat ADUN terbabit ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).
Sebelum ini, Kerajaan Melaka tertubuh dan merampas daripada Adly selepas mendapat sokongan daripada 17 ADUN iaitu 14 kerusi UMNO, Bersatu (dua) dan Bebas (satu). Sementara pembangkang atau PH pula mempunyai 11 kerusi yang terdiri daripada tujuh kerusi DAP, PKR (dua) dan Amanah (dua).
Perkara tersebut turut mendapat perhatian Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilaporkan berkata, menyerahkan situasi itu kepada Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menyelesaikan isu pergolakan Kerajaan Melaka. – UTUSAN