KEMAMAN: Panggilan telefon tanpa suara dibuat seorang warga emas berjaya menyelamatkan nyawanya bersama dua cucu dalam kejadian kebakaran di Kampung Gong Limau, Cukai, di sini hari ini.
Norhasnifah Yusof, 57, sempat menghubungi anaknya, Mohd. Daie Suhaimi, 35, pada pukul 2.30 petang bagi memaklumkan musibah itu, namun tidak sempat berkata-kata apa-apa berikutan terlampau panik.
Curiga tentang keadaan itu, maka Mohd. Daie yang merupakan pengawal keselamatan sekolah bergegas pulang ke rumah ibunya yang terletak hampir 1 kilometer daripada lokasi tempat kerja.
“Di kejauhan saya terdengar suara mengatakan rumah terbakar lalu segera balik sebab bimbang keselamatan dua anak yang masing-masing berusia empat dan tujuh tahun di samping keadaan emak.
“Apabila sampai, saya dapati ruang tamu sudah dipenuhi asap tebal dan anak-anak serta ibu menangis ketakutan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, enam unit rumah teres terbakar, menyebabkan kira-kira 30 penduduk hilang tempat tinggal.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, perbincangan akan dibuat dengan agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa.
“Buat masa ini, kesemua mangsa ditempatkan di Dewan Sivik Gong Limau dan saya akan berbincang dengan pihak Maidam untuk menyewa rumah sebagai tempat tinggal sementara mereka di samping melihat bentuk bantuan lain yang bersesuaian, ” katanya. – UTUSAN