Pandora Papers: Tarikh akan ditetapkan untuk jawab di Parlimen

[PARLIMEN] Kertas Pandora: Tarikh akan ditetapkan untuk jawab di Parlimen

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tarikh akan ditetapkan kepada pihak Parlimen untuk memberi jawapan berhubung isu Kertas Pandora.

Jaminan itu diberi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar apabila isu tersebut sehingga hari ini terus diasak oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya bagi jaminan, saya akan jemput semua agensi Yang Berhormat sebut iaitu SPRM, Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memberi arahan daripada Perdana Menteri supaya penyiasatan dilaksanakan sebagaimana yang saya sebutkan tadi.

“Kita akan berbincang dan tentukan tarikh menetapkan jawapan diberi kepada pihak Parlimen bila mendapat keputusan daripada penyiasatan itu nanti,” katanya bagi menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Anwar (PKR-Port Dickson) meminta kerajaan menjelaskan apakah kesediaan kerajaan berikutan pendedahan Kertas Pandora yang melibatkan beberapa anggota pentadbiran dan ahli Dewan Rakyat dalam memastikan kredibiliti pentadbiran negara terpelihara.

Wan Junaidi dalam masa yang sama turut berkata, SPRM kini dalam proses mendapatkan butiran lanjut mengenai isu Kertas Pandora.

“SPRM juga mengadakan perbincangan dengan agensi lain termausk BNM untuk memastikan kordinasi siasatan berjalan lancar.

Dalam hal ini, kerajaan tidak akan mengganggu pihak berkuasa jika terdapat laporan daripada mana-mana pihak atau individu yang memerlukan siasatan lanjut dijalankan terhadapnya,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam masa yang sama turut meminta agar individu yang terlibat memberi jawapan di Dewan Rakyat seperti yang dilakukan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (UMNO-Bagan Datuk).

Anwar pada persidangan sebelum ini mengemukakan notis usul kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun meminta satu sesi perbahasan diadakan di Parlimen berkait pendedahan Kertas Pandora, namun ditolak.

SPRM menerusi kenyataannya pada 17 Oktober lalu, meminta Anwar memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat mengenai isu pendedahan Kertas Pandora.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula berkata, kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau syarikat yang terbabit dalam pendedahan Kertas Pandora.

Malah, Menteri Kewangan, Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz  berkata, BNM sedia memberikan sepenuh kerjasama dengan agensi penguat kuasa bagi memantau dan menyiasat dokumen terkandung dalam Kertas Pandora yang membabitkan individu di negara ini.

Kertas Pandora menjadi isu hangat selepas Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ), baru-baru ini mendedahkan, siasatan dijalankannya mendapati beratus pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah dilapor menyembunyikan wang serta pelaburan hartanah, kapal persiaran dan aset lain sepanjang 25 tahun lepas.

Siasatan dikenali sebagai Kertas Pandora itu menyatakan perkara berkenaan didedahkan menerusi 12 juta fail dimiliki 14 firma di serata dunia.

Turut disenaraikan ialah dua individu dari Malaysia yang didakwa antara 336 ahli politik memiliki akaun luar pesisir, malah terdapat 118 syarikat luar pesisir dengan pemilik berasal dari negara ini.

Antara nama berkenaan ialah Jho Low dan kaitannya dengan sebuah firma undang-undang Amerika yang dilaporkan digunakan untuk membina jaringan syarikat di Malaysia dan Hong Kong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN