Oil Pad, Oil Boom diletakkan di Sungai Balak halang pencemaran

Oil Pad, Oil Boom diletakkan di Sungai Balak halang pencemaran

KAKITANGAN Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang mengambil langkah meletakkan Oil Pad bagi menyekat efluen minyak daripada terus mengalir di Sungai Balak, Balakong, Cheras, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 50 Oil Pad dan dua Oil Boom diletakkan bagi menghalang pencemaran minyak marjerin di Sungai Balak yang keluar daripada sebuah tangki dekat kilang pembuatan bahan roti di Kampung Baru Balakong, Cheras, Selangor.

Tindakan itu diambil selepas pensampelan air dibuat dan mengesan pelepasan efluen minyak berlaku di sungai terbabit dan hasil analisis oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), terdapat kesan dan bau halus minyak masak dikesan.

Menurut Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian, langkah proaktif diambil Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) sejak malam semalam bagi mengelakkan pencemaran berkenaan memberi kesan kepada Sungai Langat dan menghentikan sementara operasi Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Tampoi.

“Siasatan awal mendapati, terdapat bau minyak masak dikesan di Sungai Balak. LUAS juga menemui sisa minyak di dalam aliran yang dilaporkan berlaku pelepasan efluen akhir dari premis dan bertemu Sungai Balak.

“Jarak dari lokasi pencemaran ke muka sauk LRA Semenyih 2 adalah 16 kilometer (km), LRA Bukit Tampoi 24.5 km dan LRA Labohan Dagang adalah 36 km,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, bagaimanapun, pensampelan ujian bau yang dijalankan LUAS di Sungai Langat di Jambatan Kampung Teras Jernang dan LRA Bukit Tampoi mencatatkan bacaan sifar (0) ton dan aliran sungai dalam keadaan normal.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan sebuah kilang berasaskan makanan di Balakong, dekat sini dikenakan notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) akibat melepaskan sisa minyak makanan dari tangki simpanan minyak marjerin yang bocor melalui longkang seterusnya ke Sungai Balak.

Pemlikik premis didapati gagal melaporkan kerosakan itu kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam tempoh enam jam selain gagal mengambil langkah-langkah kawalan menghalang pelepasan sisa minyak ke persekitarannya.

Dalam pada itu, susulan pencemaran terbabit, Loy Sian memaklumkan Air Selangor mengaktifkan bekalan air alternatif LRA Sungai Semenyih sementara LRA Bukit Tampoi dihenti tugas, namun tidak melibatkan gangguan bekalan air sehingga LRA berkenaan kembali beroperasi semalam.

“Langkah-langkah mitigasi susulan dan pemantauan rapi dari semasa ke semasa dijalankan oleh LUAS bersama pihak terlibat bagi memastikan sumber air di negeri ini terpelihara,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, kilang terbabit dikenakan kompaun dan digantung lesen premis oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sehingga kerja pembaikan dijalankannya susulan kesalahan mengalirkan efluen minyak ke saliran awam sebelum dirawat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya