GEORGETOWN: Pengguna jalan raya dari arah Jalan Tun Sardon ke Jalan Paya Terubong di sini nyaris merempuh batu besar yang tergolek dari atas bukit dan menghalang laluan di situ petang ini.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 petang itu bagaimanapun dilaporkan tidak melibatkan sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa.
Seorang pengguna jalan raya yang hanya mahu dikenali Fauzan, 36, berkata, dia terkejut sebaik sahaja mendapati satu objek besar terjatuh dari atas bukit di situ.
“Kejadian berlaku terlalu pantas dan mujur saya sempat memberhentikan kereta kurang beberapa meter daripada jatuhan batu itu. Saya juga bernasib baik kerana tiada kenderaan atau motosikal lain berhampiran lokasi kejadian.
“Saiz batu agak besar dan lebarnya penuh satu laluan menghala ke Jalan Paya Terubong,” ujarnya ketika ditemui di sini.
Ketika ini, kerja-kerja mengalihkan batu itu sedang djalankan dengan menggunakan jentolak sehingga menyebabkan berlaku kesesakan jalan dari kedua-dua arah di lokasi kejadian. – UTUSAN