KUALA KRAI: Jumlah pengunjung ke Taman Negeri Gunung Stong, di sini mencecah 1,000 orang sehari terutama hujung minggu dan cuti umum sejak kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri dan sektor pelancongan beroperasi.
Situasi itu melegakan para pengusaha pelancongan di situ selepas mereka kehilangan pendapatan ekoran terpaksa ditutup selama berbulan-bulan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Urusan Stong Hill Resort, Mohd. Yazil Elham Yahya berkata, kebelakangan ini, tempahan tidak putus-putus diterima pengusaha pelancongan di Taman Negeri Gunung Stong.
Katanya, lokasi itu kini bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk Kelantan malah mula dikunjungi pelancongan dari luar negeri ini yang datang sama ada dengan kenderaan sendiri atau menaiki kereta api.
“Mengikut pemantauan kami, kalau hari biasa, tidak kurang 200 hingga 300 pengunjung sehari masuk berkelah dan berekreasi di kawasan ini.
“Pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, kedatangan pengunjung naik mendadak mencecah 1,000 orang sehari. Tempahan tidak putus-putus menyebabkan resort juga sentiasa penuh,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Seorang pengunjung, Ahmad Mukhlis Rahimi, 23, berkata, dia memilih melawat Taman Negeri Gunung Stong untuk melihat Air Terjun Jelawang setinggi 303 meter, yang juga tertinggi di Asia Tenggara.
“Sebenarnya saya suka alam sekitar yang tenang. Jadi apabila sektor pelancongan ditutup saya hanya terperap di rumah sehingga kebosanan. Jadi apabila ada peluang, saya terus ambil kesempatan datang ke sini,” katanya.