Naratif derita penoreh getah yang perlukan pembelaan - Utusan Malaysia

Naratif derita penoreh getah yang perlukan pembelaan

ZAITON Puteh ketika menoreh di sebuah kebun getah di Kampung Serting Ilir, Jempol, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/NURULAZMA SHAFIQAH KHAIRUL AZHAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelbagai isu kedengaran berkenaan nasib penoreh getah di negara ini yang memerlukan pembelaan. Di JEMPOL,  seorang penoreh getah dari Kampung Serting Ilir , Zaiton Puteh mendakwa hanya memperoleh RM250 selepas mengambil upah menoreh selama 10 hari.

Kata Zaiton, ketika harga getah sekerap sekitar hanya RM2.50 sehingga RM3.00 bagi setiap kilogram ketika ini, tentunya bagi sesetengah orang, ia bukanlah sesuatu yang berbaloi untuk dilakukan.

“Saya sering memikirkan bagaimana lagi cara untuk menampung kehidupan keluarga dan membantu meringankan beban suaminya yang hanya bekerja sendiri.

“Saya hanya menoreh getah di kebun orang, ada lebih kurang tiga ekar kebun yang saya toreh, dalam masa 10 hari dapatlah kira-kira RM500 tetapi perlu dibahagi dua pula dengan pemilik kebun.

“Walaupun rasa seperti tidak berbaloi tambahan pula sekarang musim hujan, tetapi apa lagi yang saya boleh buat, saya tetap kena menoreh juga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan perlu mencari formula atau kaedah sesuai untuk meningkatkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram dalam usaha membantu pekebun kecil getah meningkatkan pendapatan mereka.

Sementara itu, kata Zaiton, harga getah yang tidak menentu ketika ini memang menyulitkan keadaan pekebun-pekebun kecil getah, sehubungan itu dia memang berharap kerajaan dapat mencari jalan untuk meningkatkan lagi harga komoditi tersebut.

“Dengan harga getah yang tidak menentu, ditambah dengan situasi pandemik memang susah, mahu buat kerja lain pun terbatas memang berharap pada menoreh getah sahaja.

“Selama empat jam di kebun getah, setelah ditolak semua seperti kandungan air dalam getah dan hasilnya dibahagi pula dengan tuan kebun, berapa sahaja yang saya boleh dapat.

“Sebagai penoreh, memang saya katakan harga sekarang sangat rendah dan tidak berbaloi, tidak pernah naik tinggi jadi saya harap kerajaan perlu cari jalan untuk membantu,” katanya yang juga merupakan seorang tukang urut.

Di JERANTUT, Pahang nasib penoreh getah disifatkan sebagai ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Penoreh getah yang masih mengharapkan harga getah naik daripada RM3 sekilogram terpaksa pula berdepan dengan musim tengkujuh yang pastinya menjejaskan pengeluaran susu getah.

AHMAD NAZRUN Ab. Rahman menunjukkan takungan air dalam bekas susu getah berikutan musim hujan di kebun Kampung Perak di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD

Biarpun mereka sudah keluar bekerja tetapi belum boleh menarik nafas lega kerana harga komoditi itu belum membolehkan masyarakat luar bandar terutama pekebun kecil getah dapat bertahan seterusnya keluar daripada belengggu kemiskinan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penoreh getah Kampung Perak, Jerantut, Ahmad Nazrun Ab. Rahman, 41, berkata, sebelum ini dan semasa tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia hanya memperoleh hasil jualan sekerap tidak menentu antara RM200 hingga RM250 seminggu dan masih tidak mencukupi untuk perbelanjaan keperluan barang dapur dan kebajikan keluarga.

“Ada kalanya pendapatan lebih ketika cuaca elok, tetapi sejak awal bulan Oktober ini cuaca kerap berlaku hujan kerana negeri ini (Pahang) mula memasuki musim tengkujuh sehingga awal tahun depan.

“Fenomena harga getah yang tidak menentu dan musim hujan antara sebab kehidupan penoreh masih di paras kesusahan dan entah bila lagi harga getah melambung seperti era 50-an hingga 60-an akan menjelma kembali,” katanya di Kampung Perak dekat sini semalam.

Ahmad Nazrun yang mempunyai tiga anak berusia antara lapan hingga 16 tahun berkata, harga getah yang masih di paras RM2.50 memberikan impak besar kesusahan kalangan penoreh khususnya yang bekerja mengambil upah menoreh di kebun milik orang lain.

Seorang penoreh di Hulu Tembeling, Ahmad Isnin, 62, berkata, walaupun sudah dibenarkan keluar menoreh, tetapi dia terpaksa juga menggali ubi kayu di belakang rumah bagi meringankan perbelanjaan barang dapur memandangkan kurang hasil pendapatan daripada sumber torehan komoditi berkenaan.

“Musim hujan sudah bermula dan tidak dapat keluar menoreh getah milik orang, maka saya terpaksa berjimat dan cuma memasak nasi untuk makan tengah hari sahaja, manakala pada waktu lain kami sekeluarga makan ubi kayu dan jagung.

“Keadaan kehidupan penoreh getah amat terhimpit malah berdepan dengan kemelut kewangan keluarga untuk persekolahan dan rawatan perubatan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya