Najib dapat kebenaran pulangkan pasport lewat - Utusan Malaysia

Najib dapat kebenaran pulangkan pasport lewat

najib
NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berjaya meminda tarikh pemulangan pasport antarabangsanya selepas tiga Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonannya.

Dengan kebenaran tersebut, Ahli Parlimen Pekan yang akan ke Singapura untuk melawat anak perempuan yang dijangka bersalin awal bulan depan pada 21 November ini, boleh memulangkan pasport pada 6 Disember 2021.

Mahkamah Rayuan sebelum ini membenarkan Najib mendapatkan dokumen perjalanannya daripada 20 Oktober lalu dan perlu dikembalikan kepada mahkamah pada 22 November ini.

Najib sebelum ini dijadualkan untuk ke Singapura pada 3 November dan kini hanya akan ke negara jiran itu pada 22 November ini iaitu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan dua hari sebelum itu.

Pada Jumaat lalu, Najib memfailkan notis usul memohon untuk meminda tarikh pemulangan pasport kerana perlu menggantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada kempen PRN Melaka.

Ahmad Zahid akan berlepas ke Munich, Jerman untuk mendapatkan rawatan bagi sakit belakang dan leher sehingga 21 November ini. Pasport antarabangsanya akan dipulangkan kepada Ahli Parlimen Bagan Datuk itu hari ini.

Selain Ahmad Zahid dan Najib, turut diberikan kebenaran untuk mendapatkan semula pasport antarabangsa masing-masing ialah Datin Seri Rosmah Mansor yang juga akan ke Singapura untuk melawat anak dan terbaharu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang akan ke Amerika Syarikat bagi menguruskan pengajian anaknya di The New School Parson, New York.

Semua individu tersebut kini sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam atas pelbagai pertuduhan termasuk rasuah dan pengubahan wang haram.

Terdahulu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan tersebut selepas pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mustaffa P. Kunyalam, Mohd. Ashrof Adrin Kamarulan dan Shafiq Hasim tidak mengemukakan sebarang bantahan memandangkan tarikh-tarikh perbicaraan dan sebutan kes yang dihadapi Najib telah diberikan tarikh baharu.

Di hadapan Hakim Mohamed Zaini, Najib dibicarakan bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Tujuh saksi pendakwaan termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang telah memberi keterangan dalam perbicaraan itu setakat ini.

Di hadapan Hakim Sequerah pula, Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.

Najib juga bakal dibicarakan bersama-sama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah di hadapan Hakim Muhammad Jamil atas atas enam pertuduhan melakukan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Kes itu ditetapkan untuk sebutan pada 9 Disember ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN