PETALING JAYA: Pemain Selangor, Mukhairi Ajmal diangkat sebagai kapten skuad bawah 22 tahun (B-22) bagi aksi kelayakan Piala Asia B-23 di, Mongolia bermula Isnin ini.
Perkara itu disahkan selepas skuad kendalian Brad Maloney bertemu dengan
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
“Hamidin mengadakan pertemuan dengan barisan pemain dan pegawai skuad B-22 sebelum mereka berlepas ke Mongolia malam ini (semalam) bagi menghadapi kelayakan Piala Asia B-23 bermula 25 hingga 31 Oktober.
“Selain memberikan amanat dan kata-kata semangat, Hamidin turut menyarungkan lilitan lengan kapten kepada Mukhairi manakala dua pemain pertahanan, Harith Haiqal Adam Afkar dan Ahmad Zikri Mohd. Khalili dinamakan sebagai penolong,” kata FAM.
Sebagai rekod, Mukhairi yang baru berusia 20 tahun dianggap sebagai salah seorang pemain muda berbakat negara dan telah membuat kemunculan debut bersama skuad Harimau Malaya pada aksi bertemu Jordan dan Uzbekistan awal bulan ini.
Skuad negara dijadualkan menentang Laos pada 25 Oktober, Mongolia (28 Oktober) dan perlawanan terakhir berdepan Thailand (31 Oktober) bagi merebut slot automatik ke kejohanan Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan tahun depan.