MOSTI bangunkan 17 pelan hala tuju teknologi - Utusan Malaysia

MOSTI bangunkan 17 pelan hala tuju teknologi

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang membangunkan 17 pelan hala tuju teknologi seiring Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030.

Pelan berkenaan menyasarkan pembangunan ekonomi, peningkatan kualiti hidup serta kesejahteraan masyarakat dalam usaha mencapai status negara berteknologi tinggi pada tahun 2030.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pelan hala tuju ini antaranya kecerdasan buatan (AI), internet segala benda (IoT), blockchain, elektrik serta elektronik, bahan termaju, robotik dan vaksin selaras dengan 10 pemacu sains dan teknologi dan 10 pemacu sosioekonomi seperti terdapat dalam Rangka Kerja 10-10 MySTIE.

“Atas usaha ini juga, MOSTI menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada acara pembukaan Invest Malaysia 2021 baru-baru ini untuk menjadikan Malaysia negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

“Antara sasaran MOSTI adalah menjadi negara pengeluar vaksin, menjana RM600 bilion potensi pulangan perdagangan bagi sektor elektrik dan elektronik pada tahun 2025, memberi sumbangan signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui bidang yang dikenal pasti, mewujudkan peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta pewujudan 5,000 syarikat pemula (start-up company) menjelang tahun 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Adham berkata, bagi memperkasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE), MOSTI menyediakan peruntukan pembiayaan bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebanyak RM500 juta sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)  menerusi Malaysia Grand Challenge (MGC).

Katanya, ia merupakan usaha bagi menggalakkan aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi negara yang menuntut penyelesaian berimpak tinggi berpaksikan rakyat dan seterusnya memberi manfaat kepada sosioekonomi Keluarga Malaysia.

Selain itu, katanya, menerusi RMK-12, MOSTI menyasarkan 500 bilangan produk atau penyelesaian yang dikomersialkan melalui National Technology and Innovation Sandbox dan Tahun Pengkomersialan Malaysia bagi meningkatkan pendapatan negara. 

“Dalam tempoh 2016 hingga 2020, sebanyak RM402 juta hasil jualan direkodkan daripada 386 produk R&D yang berjaya dikomersialkan. 

“Dasar Pengkomersialan Harta Intelek dan Reka Cipta 2021-2025 yang dibiayai kerajaan akan mempergiatkan aktiviti pengkomersialan harta intelek dan reka cipta,” katanya. 

Menurut beliau, melalui Malaysia Startup Ecosystem Roadmap (SUPER) 2021-2030 pula, MOSTI komited menyokong ekosistem pemula  secara holistik dan mampan. -UTUSAN  ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya