KUALA LUMPUR : Walaupun masing-masing sudah mendirikan rumah tangga baru bersama pasangan, pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof, 51, tidak melihat ia sebagai asbab untuk tidak mengekalkan hubungan baik dengan bekas isteri dan anak-anak.
Menurut Eizlan, meski sudah lapan tahun bercerai dengan bekas isterinya, Vie Shantie Haroon Khan, dia mengaku masih mengekalkan hubungan baik sebagai ibu bapa kepada tiga anak mereka.
“Bukan sahaja kepada tiga orang anak hasil perkongsian hidup sebelum ini, tetapi juga dengan anak kami bersama pasangan baru sekarang.
“Maklumlah, saya kini ada anak kecil berusia 6 bulan dan begitu juga dengan Vie bersama suaminya yang kini mempunyai seorang anak.
“Hubungan kami semua sangat rapat sebagai sebuah keluarga kerana bagi saya, sebagai ibu bapa, kami perlu menyuntik nilai positiviti kepada setiap anak-anak,” katanya.
Eizlan berkata demikian semasa ditemui pada sidang media Sambutan Ulang Tahun ke-37 Aeon Group Malaysia di Setiawangsa, hari ini.
Selain itu, kata Eizlan, dia sentiasa percaya bahawa kasih sayang terhadap anak-anak walau sudah mempunyai keluarga lain, tidak wajar dibeza-bezakan.
“Baik dengan adik mereka dengan bekas isteri atau adik mereka dengan ibu tiri kini. Saya dan bekas isteri selalu terapkan bahawa mereka hidup lima beradik.
“Tak perlu beza-bezakan kasih sayang. Bagi saya, bekas isteri telah mendidik anak-anak kami dengan sangat baik dari aspek pelajaran dan didikan agama.
“Begitu juga dengan isteri saya sekarang. Dia juga merupkan isteri yang baik, pandai menguruskan rumah tangga dan anak-anak,” katanya.
Dalam pada itu, berkongsi mengenai kehidupannya yang kembali berdepan dengan situasi menjaga anak kecil, Eizlan mengaku tidak mempunyai masalah untuk menguruskan Zaelynn Rosa.
Malah, kata Eizlan, di sebalik ujian pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia juga bagaikan satu hikmah besar apabila dia berpeluang menghabiskan banyak masa bersama anak dan keluarga.
“Saya ini merupakan orang yang sangat-sangat sibuk. Jadi apabila berlakunya pandemik dan PKP, secara tak langsung saya berpeluang dapat habiskan banyak masa dengan anak dan keluarga.
“Zaelynn sangat beruntung kerana dia mendapat tumpuan penuh daripada ibu dan ayahnya di rumah.
“Ini satu rahmat dariNya buat kami sekeluarga. Walaupun ada yang melihat pandemik ini dari sudut negatif, terjejas dan sebagainya, bagi saya, di sebalik semua itu tetap ada nilai positiviti dan hikmah yang baik buat kita semua,”katanya.