ALOR SETAR: Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mengakui Melaka United sememangnya berhak untuk menang dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, malam kelmarin.
Menurut Aidil, pasukan pelawat yang dibimbing Zainal Abidin Hassan nyata mempamerkan persembahan lebih baik daripada anak-anak buahnya dalam saingan Kumpulan C itu.
Pengendali dari Singapura itu berkata, beliau kecewa dengan kesilapan berulang yang dilakukan anak-anak buahnya sehingga membuka banyak ruang kepada Melaka untuk melakukan percubaan.
“Tiga gol Melaka malam ini dihasilkan menerusi kaedah yang sama di mana pemain-pemain mereka diberi ruang terlalu selesa untuk melakukan rembatan ke gawang gol kami.
“Itu sesuatu yang harus kami beri perhatian selepas ini. Jelas, malam ini Melaka merupakan pasukan yang lebih baik dan mereka layak untuk menang,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan.
Dalam perlawanan itu, Kedah terlebih dulu berada di depan menerusi jaringan Kpah Sherman pada minit keenam sebelum Melaka bangkit dengan tiga gol hasil jaringan dua pemain import mereka.
Sementara itu Zainal Abidin berkata, kejayaan menewaskan Kedah telah menyuntik keyakinan anak-anak buahnya untuk meneruskan rentak cemerlang dalam perlawanan seterusnya.
“Apabila kami tewas 1-4 dalam perlawanan terakhir Liga Super kepada Kedah sebelum ini, kami terus membuat analisis mengenai kekuatan dan kelemahan kedua-dua pasukan. Alhamdulillah, dengan persiapan dilakukan, kita berjaya menang pula kali ini,” katanya.
“Sebelum ini kita banyak melepaskan gol mudah tetapi malam ini para pemain tampak telah belajar dari kesilapan lalu. Saya tak mahu katakan kami sudah selamat untuk layak ke pusingan seterusnya namun kemenangan ini tentu sekali menambah keyakinan untuk menghadapi perlawanan selepas ini,” katanya.