MELAKA: Surat permohonan menghadap Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam oleh 11 ahli dewan undangan negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dan empat ADUN kerajaan yang menarik sokongan, dihantar pada pukul 2.30 petang semalam.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh Utusan Malaysia dengan kepala surat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Bukit Katil, ia dialamatkan kepada Setiausaha Sulit Yang Dipertua Negeri, ditandatangani oleh Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari.
Adly dalam surat itu berkata, pihaknya berhasrat untuk mengadakan kunjungan hormat bagi membincangkan senario politik semasa negeri Melaka ke arah memastikan kestabilan politik.
“Untuk makluman pihak tuan, saya berhasrat mengadakan kunjung hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Melaka bagi membincangkan senario politik semasa ke arah memastikan kestabilan politik agar pemulihan ekonomi negeri ini dapat berjalan dengan baik demi kesejahteraan rakyat.
“Sehubungan itu, sukacita sekiranya pihak tuan dapat memaklumkan hasrat saya ini kepada Yang Dipertua Negeri Melaka dan seterusnya mengatur kunjung hormat tersebut,” katanya yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Semalam, Utusan Online melaporkan, spekulasi akhirnya terjawab apabila empat ADUN kerajaan mengesahkan bahawa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, berkuatkuasa serta merta.
Seperti yang diramalkan, gerakan untuk menggulingkan kerajaan tersebut diketuai bekas Ketua Menteri yang juga ADUN Sungai Udang (UMNO), Datuk Seri Idris Haron bersama ADUN Pengkalan Batu (Bebas), Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Pantai Kundor (UMNO), Datuk Nor Azman Hassan dan ADUN Telok Mas (Bersatu), Datuk Noor Effandi Ahmad.
Dalam pada itu, Idris ketika dihubungi mengesahkan ketulenan surat berkenaan.
Sementara itu, Setiausaha Khas Yang Dipertua Negeri, Nur Azmi Ahmad dilaporkan berkata, tiada sebarang kunjungan hormat ke atas Mohd. Ali boleh dilakukan oleh mana-mana wakil parti politik hingga Khamis ini.
Katanya, ini kerana Mohd. Ali sedang menjalani kuarantin kendiri bermula 30 Sept lalu, selepas menjadi kontak rapat kepada individu positif Covid-19 dan tempoh kuarantin berakhir pada hari tersebut.
“Jika beliau masuk pejabat Jumaat ini, mungkin beliau akan bagi keputusan untuk berjumpa atau tidak hari itu. Semua bergantung kepada keputusan beliau,” katanya. – UTUSAN ONLINE