SHAH ALAM: Sempena sambutan Hari Alam Sekitar 2021, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan 298 tong sampah besar atau ‘Roll On Roll Off’ (RORO) bagi memudahkan orang ramai membuang sampah pukal.
Antara bahan buangan yang bersedia dikutip seperti perabot lama dan barangan elektrik seperti almari, sofa, tilam, katil, peti ais, radio, televisyen, pengecas bateri, telefon bimbit dan sebagainya.
Menurut Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad, tong RORO bersaiz 3 tan tersebut diletakkan di kawasan sekitar bandaraya iaitu di Seksyen 1 hingga Seksyen 36 dan Seksyen U1 hingga Seksyen U20.
“Perkhidmatan yang disediakan MBSA secara percuma ini bermula dari 1 Oktober hingga 15 Oktober ini dengan meletakkan tong RORO di lokasi yang sesuai secara berperingkat untuk kemudahan penduduk.
“Pihak MBSA telah menetapkan tempoh selama 5 hari untuk setiap tong RORO di lokasi seperti dijadualkan dan akan ditarik pada bila-bila masa setelah kapasiti tong penuh seperti ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shahrin berkata, tujuan pelaksanaan perkhidmatan tong RORO ini adalah untuk memberikan kemudahan kepada penduduk melaksanakan aktiviti gotong royong secara persendirian di setiap kediaman masing-masing.
Selain itu katanya lagi, penyediaan perkhidmatan ini juga bertujuan memberikan didikan kepada warga bandaraya tentang pengurusan sampah pukal dengan cara yang betul.
“Pihak MBSA berharap agar penduduk memberikan kerjasama dengan meletakkan sampah pukal tersebut di dalam tong RORO yang disediakan bagi memudahkan pihak kontraktor membuat kutipan dan menjaga kawasan sekitar agar berada dalam keadaan bersih dan selesa,” katanya.
Sebarang pertanyaan berhubung perkhidmatan tong RORO, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, MBSA di talian 035510 5133 sambungan 1316. – UTUSAN