PARIT BUNTAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerima laporan mengenai penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan terapung di perairan Tanjung Piandang dekat sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Mohd. Sharenliza Ghazali berkata, mayat tersebut ditemukan pada pukul 10.15 malam semalam oleh nelayan.
Menurutnya, laporan mengenai penemuan itu diterima oleh pihaknya semasa bot Maritim Benteng 3 sedang menjalankan operasi mencari seorang nelayan yang dilaporkan hilang di Kuala Gula semalam.
“Maritim Malaysia menerima laporan tentang penemuan mayat seorang lelaki terapung di Perairan Tanjung Piandang dan segera ke lokasi untuk mengangkat mayat tersebut.
“Mayat terapung itu bukan mayat nelayan yang dilaporkan hilang. Mayat yang ditemukan itu tidak mempunyai sebarang identiti.
“Mayat dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Kuala Kurau untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengenai operasi mencari seorang nelayan yang hilang di perairan Kuala Gula sejak semalam, Mohd. Sharenliza berkata, pihaknya memulakan operasi pencarian pada pukul 9.30 malam semalam setelah menerima laporan keluarga mangsa.
Menurutnya, mangsa, Ch’ng Poh Chuan,71, telah keluar ke laut pada pukul 11 pagi semalam menaiki sampan namun tidak pulang ke rumah seperti biasa menyebabkan adik iparnya membuat laporan tentang kehilangan mangsa.
Katanya, Maritim Zon Kuala Kurau menjalankan operasi pencarian menggunakan bot Maritim Benteng 3.
“Barang-barang peribadi mangsa yang hilang ditemukan terapung dan tersangkut di sebuah sangkar ikan di perairan Kuala Gula malam semalam semasa usaha pencarian dijalankan,” katanya.
Menurutnya, operasi mencari masih dijalankan hari ini, dibantu aset pasukan Polis Marin, Jabatan Perikanan dan nelayan. -UTUSAN ONLINE