IPOH: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang setelah terjatuh ke dalam Sungai Tonggang, Tanjung Rambutan dekat sini ditemukan tersangkut di celah batu hari ini.
Mayat Mohammad Ridzwan Mohd. Kassim, 20, itu dijumpai pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 10 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd. Azman Husin berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 8.17 pagi dengan sepasukan anggota dihantar ke tempat kejadian.
Katanya, anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) telah membuat pencarian kira-kira sejauh 2.5 kilometer dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.
“Pencarian dilakukan di permukaan dan kawasan lubuk dan tebing-tebing sekitar sungai. Mangsa dijumpai tersangkut di celah batu kira-kira 500 meter dari tempat dia terjatuh,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa dibawa naik ke tebing untuk diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN