BAGAN SERAI: Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tangan dan kaki terikat di perairan laut Ban Pecah, Sungai Burung di Tanjung Piandang dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Mazuki Mat berkata, polis menerima maklumat pada pukul 10.04 malam semalam mengenai mayat lelaki berusia lingkungan 16 hingga 35 tahun yang tersangkut pada pukat di perairan tersebut.
Menurutnya, tangan dan kaki mayat didapati diikat menggunakan beg berisi pasir, dipercayai untuk menenggelamkan mayat ke dalam laut.
“Mayat dalam keadaan telah membusuk dan dianggarkan telah mati dalam tempoh beberapa hari.
“Bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di bahagian kepala akibat trauma tumpul.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu atau yang kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Ambri Mat Nayan menerusi nombor 01113092525. – UTUSAN ONLINE