Masyarakat Minang sudah lama tidak ziarah keluarga - Utusan Malaysia

Masyarakat Minang sudah lama tidak ziarah keluarga

SYAHRIAL Tarmizi menunjukkan carta organisasi PKMMNS di pejabat pertubuhan tersebut yang terletak di Taman Dato Shahbandar, Ampangan, Seremban, baru-baru ini. - UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pandemik Covid-19 yang menghalang pergerakan untuk keluar masuk negara sejak Mac tahun lalu juga menyebabkan masyarakat etnik Minang termasuk di Negeri Sembilan sudah hampir dua tahun tidak menziarahi keluarga dan saudara mereka yang berada di Sumatera Barat, Indonesia.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Minang Negeri Sembilan (PKMMNS), Syahrial Tarmizi berkata, larangan untuk merentas negara itu juga menyebabkan ramai dalam kalangan ahli pertubuhan itu turut tidak berpeluang untuk pulang menziarah ketika berlakunya kematian dalam kalangan ahli keluarga mereka di sana.

“Masih ada lagi penduduk di negara ini yang masih mempunyai ahli keluarga dan saudara mara di Sumater Barat, saya sendiri mempunyai seorang kakak di sana. Ahli PKMMNS sendiri kira-kira 30 peratus daripada mereka juga begitu, masing-masing memang sudah lama tidak ke sana.

“Perasaan itu memang rindu, tetapi zaman sudah canggih dan maju, boleh buat panggilan video dan berhubung menerusi aplikasi WhatsApp, begitu sahajalah. Cuma yang terkilan apabila berlakunya kematian dalam kalangan ahli keluarga, kami tidak dapat ke sana untuk menziarah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Dato Shahbandar, Ampangan, di sini baru-baru ini.

Menurut Syahrial, kebiasaannya bagi penduduk masyarakat Minang di negara ini akan pulang ke Sumatera Barat sekurang-kurangnya sekali setahun untuk bertemu keluarga dan saudara mara di sana.

“Rindunya juga kepada masakan-masakan tradisi masyarakat Minang di sana, suasana di sana selain rakan-rakan kampung dari kecil yang turut sudah lama tidak bertemu,” katanya lagi.

Tambah beliau, walaupun perasaan untuk menziarah keluarga itu meluap-luap namun mereka menyedari larangan untuk pergerakan tersebut adalah untuk kepentingan semua pihak.

“Sekarang ini kita ikutlah panduan yang diberikan oleh kerajaan, kita memahami situasi semasa lagipun keadaan di sana juga sama juga masih ada kawalan pergerakan lagi.

“Saya percaya tempoh larangan ini tidak akan berlaku lebih lama, apabila semua lengkap terima vaksin Covid-19, pintu sempadan untuk aktiviti pelancongan kedua buah negara akan kembali dibuka, pada waktu pasti ramai yang akan ambil peluang untuk pulang ke sana,” katanya yang kali terakhir menziarahi keluarganya di Sumatera Barat pada bulan Februari tahun lalu.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya