KALAU sebut pasal isu yang satu ini, rasanya pasti ramai yang mengangguk tanda setuju bahawa sememangnya industri tempatan bagaikan sudah ketandusan wajah-wajah baru yang mampu mengisi ‘kekosongan’ ini.
Ini kerana, kriteria standard bagi seseorang pelakon lelaki yang mampu beraja di posisi itu tidak boleh dipandang remeh. Kena ada piawaian tertentu, barulah sesuai digelar Hero Malaya.Bukan boleh asal boleh sahaja dalam bahasa kasarnya.
Jika nak sebut pasal apakah ciri-ciri yang perlu ada, rasanya ia mungkin dilihat subjektif, namun masih dalam kuota standard yang tinggi. Baik dari segi penampilan, gaya dan kualiti lakonan.
Pendek kata, tak mudah untuk mencari sosok-sosok hero seperti Remy Ishak atau Zul Ariffin misalnya yang kelihatan relevan sebagai hero drama atau filem dekad ini. Malah, memang betul, kita ada ramai pelakon lelaki yang mewarnai industri seni lakonan.
Tetapi, yang benar-benar layak diangkat sebagai pelapis hero, memang sukar ditebak siapa. Melayangkan pertanyaan pada beberapa pengkarya di bawah, Pancaindera menggali pandangan mereka berhubung isu.
“Bukan tiada, ada di luar sana. Cuma…” – Aziz M. Osman
Pengarah dan pelakon senior, Aziz M. Osman berpendapat, industri perfileman tidaklah kehausan hero sejati kerana ramai sahaja yang mempunyai kriteria dan bakat untuk diangkat sebagai hero Malaya.
Namun, dia menyifatkan keadaan pandemik Covid-19 yang hampir dua tahun ini telah merencatkan perancangan bagi mengetengahkan bakat-bakat baharu untuk meramaikan lagi hero sejati sedia ada.
“Saya cuma pegang kepada patah tumbuh hilang berganti. Maknanya selagi kita tidak mencari selagi itu tidak dapat. Jadi, kita perlu berusahalah. Bukan tiada, ada di luar sana.
“Cuma mungkin dalam keadaan pandemik ini, tidak ada usaha menyeluruh untuk mengetengahkan bakat-bakat baharu. Mungkin dalam masa terdekat ini, apabila industri sudah mula rancak semula, ada usahalah.
“Namun bagi saya, bakat-bakat lakonan di Malaysia sepanjang saya yang saya tahu dalam berpuluh tahun tidak pernah kering, Insya-Allah sentiasa ada,” katanya.
Mengulas lanjut, pengarah filem popular Senario itu juga berharap agar mereka yang mempunyai bakat dan kriteria sebagai hero Malaya, sila menonjolkan diri di mana-mana syarikat penerbitan.
“Jika benarlah keadaan ini wujud, saya ingin mengesyorkan agar mereka yang berbakat di luar sana ambil kesempatan atas kekurangan yang dirasakan ini.
“Kalau rasa berbakat, ketengahkan diri dengan cara menghantar resume kepada syarikat penerbit,” ujarnya ketika ditemu bual.
Dalam pada itu, Aziz turut melontarkan pendapatnya agar pengarah memberanikan diri dalam mengetengahkan genre berbeza supaya dapat keluar daripada stereotaip watak ‘adik-adik’ yang tidak ‘cukup jantan’, menerusi naskah sedia ada.
Trend sekarang nak tengok muka ‘jambu’ – Zeel
Lambakan pelakon lelaki berwajah ‘jambu’ hari ini sedikit sebanyak menenggelamkan wajah ‘lelaki Melayu terakhir’.
Bagaimanapun, menurut penerbit drama popular Fadzil Teh, pasaran lakonan hari ini mahu melihat pelakon yang ‘jambu’ dek terpengaruh dengan tontonan naskah perfileman Korea.
Malah katanya lagi, ramai pendatang baru dan yang sedang meningkat naik bakal mendapat tempat di pasaran tempatan.
“Sudah menjadi trend sekarang penonton kita suka tengok hero-hero jambu ini disebabkan netizen suka menonton drama-drama Korea.
“Kita ada pelapis baharu dalam industri, cuma ruang dan peluang harus terbuka luas.
“Pelakon lelaki yang kita lihat bakal menembusi pasaran 2022 ke atas seperti Hun Haqeem, Merqeen, Aniq Suhair dan Aidit Noh di samping hero-hero sawa matang iaitu Fendy Bakry, Redza Rosli dan Shukri Yahaya,” jelasnya.
Tambah Fadzil atau lebih mesra disapa dengan panggilan Haji Zeel, pendatang baharu hendaklah sentiasa digilap bakat mereka sementelah aktiviti mencari bakat baharu pula terus dijalankan.
“Pada saya pelakon ini kita kena cari dan asah bakat mereka sebab yang datang uji bakat ini kebanyakannya muka-muka yang sama.
“Selain itu, kena banyakan lagi program pencarian hero dan bakat,” katanya.
“Manakala program Anak Wayang dan program di RTM Pilih Kasih patut diteruskan lagi,” ujarnya.
Kena berani pertaruh wajah baru – Adrian Teh
Ada sesuatu yang bermain di minda pengarah, Adrian Teh, 37, apabila ditanya mengenai isu yang dibentangkan Pancaindera kali ini.
Dia yang begitu popular dengan filem aksi Paskal dan Wira juga percaya adalah lebih baik jika golongan penerbit dan pengarah bersifat terbuka dalam menilai seseorang pelakon lelaki itu untuk dijadikan hero drama atau filem.
Pun begitu, dia sedar, adakala nama-nama besar sedia ada juga mempunyai kelebihan tersendiri.
“Kalau produksi pakai nama-nama besar seperti yang disebut, saya lihat ada kelebihannya juga. Stesen televisyen atau pun kelompok pelabur akan berasa selamat dan yakin dengan reputasi yang telah dicipta oleh pelakon-pelakon itu.
“Tetapi, kalau kita tidak memberi peluang kepada wajah-wajah baru, lama-kelamaan situasi ini akan memberi kesan pada masa hadapan. Terutama apabila pasaran telah kekurangan artis hero yang bersesuaian nanti,”katanya.
Berikutan itu, Adrian meletakkan kepercayaan bahawa sudah tiba masanya industri lebih terbuka dan berani memberi peluang kepada pelakon-pelakon baru dalam usaha menyuntik persekitaran baru dalam industri.
“Kena beranilah beri peluang buat orang lain pula. Tetapi kena juga pastikan yang sememangnya pelakon tersebut ternyata ada bakat, bukan bersandarkan hanya pada rupa paras atau luaran sahaja,” katanya.