LONDON: Paul Scholes menyifatkan Paul Pogba tidak sepatutnya bermain untuk Manchester United lagi selepas dia dilayangkan kad merah ketika kekalahan besar kepada Liverpool di Old Trafford.
Pencaturan pengendali United Ole Gunnar Solskjaer memasukan pemain tengah Perancis itu selepas United ketinggalan 4-0 pada babak kedua gagal memberi impak, malah Pogba menjadi punca Liverpool mendapat gol kelima.
Lebih memburukkan keadaan, Pogba dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan berbahaya keatas Naby Keita.
Dengan kontrak Pogba akan berakhir musim panas tahun depan, masa depan pemain itu di Old Trafford terus menjadi tanda tanya.
“Paul Pogba masuk ketika rehat untuk membantu pasukan, cuba menunjukkan kekuatannya di atas padang, tetapi menjadi punca gol kelima.
“Kemudian dia dibuang padang kerana terjahan kasar, dan anda ketinggalan 5-0 serta bermain 10 orang. Anda akan terfikir, jika Ole masih menjadi pengendali, adakah Pogba akan terus menyarung jersi United?
“Dia mencetus huru-hara beberapa tahun lalu. Semua orang tahu bakatnya, percayakannya, setiap pengendali percayakannya, cuba memberikannya peluang.
“Dengan sikapnya, saya tidak rasa kelab akan kehilangannya jika dia tidak terus bermain untuk United,” kata Scholes.
Bekas bintang United itu, turut berpandangan skuad Red Devils masih terbuai dengan kebangkitan menewaskan Atalanta dalam saingan Liga Juara-Juara, Rabu lalu sehingga terlupa Liverpool adalah pasukan berbeza.
“Tidak cukup untuk hanya mengatakan ia adalah hari yang mengecewakan. Saya rasa kita semua sedar yang ia sukar, saya rasa pengendali masih dibuai emosi dengan kebangkitan (menentang Atalanta) pada Rabu.
“Kita boleh bangkit dalam perlawanan seperti itu tetapi anda tidak akan mampu melakukannya menentang Liverpool, mereka mempunyai kualiti yang amat tinggi.
“Saya rasa ia bukan kerana usaha, secara taktikal mereka memang dibentuk untuk menerima perkara begini dan malangnya ia memang berlaku.- AGENSI