PETALING JAYA: Kejayaan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Uzbekistan, tahun depan bukan hanya menggembirakan jurulatih dan pemain, malah turut diraikan peminat bolasepak negara.
Tanpa berselindung pengendali skuad bawah 22 (B-22) kebangsaan, Brad Maloney memuji semangat luar biasa yang ditunjukkan anak buahnya di atas kejayaan merealisasikan misi berkenaan.
Kejayaan itu hadir selepas skuad negara B-22 mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Thailand di Stadium MFF semalam sekali gus mengesahkan status selaku juara Kumpulan J kempen kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Ulaanbaatar, Mongolia.
“Pencapaian yang luar biasa daripada kumpulan pemain ini. Saya sentiasa mempunyai kepercayaan tinggi terhadap mereka untuk meraih kejayaan ini.
“Mereka mempamerkan prestasi yang hebat dan cukup profesional sepanjang kejohanan ini. Tiada kata-kata lain selain perasaan bangga dengan kejayaan di peringkat kelayakan ini,” kata Maloney.
Skuad muda negara membuka kempen kelayakan dengan langkah kanan melalui kemenangan 1-0 ke atas Laos hasil jaringan tunggal daripada Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar.
Bintang muda Terengganu FC II itu sekali lagi muncul wira apabila meledak gol tunggal menewaskan tuan rumah, Mongolia 1-0 sebelum seri tanpa jaringan dengan Thailand untuk muncul juara Kumpulan J.
Keputusan itu membolehkan Malaysia kembali mewarnai saingan Piala Asia B-23 sejak edisi 2018 di China menyaksikan skuad muda negara ketika itu dibawah kendalian Datuk Ong Kim Swee disingkirkan oleh Korea Selatan dengan kekalahan tipis 1-2 di peringkat suku akhir.
Bagaimanapun, kecemerlangan itu gagal diteruskan pada edisi seterusnya selepas skuad muda negara gagal meraih slot automatik ke Piala Asia B23 2020 di Thailand apabila terkandas pada pusingan kelayakan yang berlangsung di Shah Alam.