KUALA LUMPUR: Pemergian legenda seni, Allahyarham Mamat Khalid cukup dirasai apabila ramai penggiat seni berkongsi kenangan, kesedihan dan penghormatan buat pengarah tersohor itu di media sosial.
Antara yang mengundang sebak warganet adalah perkongsian pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki yang cukup menghormati Allahyarham sebagai seorang legenda seni tiada berganti.
“Saudara seperjuangan. Abang seangkatan dan seniman yang sangat aku hormati telah pulang ke Rahmahtullah. Semoga Allah SWT menempatkan rohnya dalam kalangan mereka yang disayangi-Nya.
“Sesunguhhnya kita kehilangan anak seni yang berbakat besar hari ini. Malaysia menjadi sunyi sedikit tanpa seni dan jenaka beliau,”katanya.
Allahyarham Mamat atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Kahlid, 58, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Slim River 12.30 tengah malam tadi selepas rebah di restorannya dan dikejarkan ke hospital.
Sementara itu, pelawak dan pelakon, Harith Iskandar turut berkongsi penghormatan buat Allahyarham yang disifatkan sebagai tentera sejati dalam dunia perfileman tempatan.
“Sedih mendengar pemergian Mamat Khalid. Seorang tentera sejati dalam dunia kreatif dan perfileman negara. Seorang legenda dan selayaknya dihormati,”katanya.
Dalam pada itu, pelakon, Sharifah Aleya turut berkongsi kenangan apabila Allahyarham adalah insan yang mencipta karakter yang melekat dengannya sekali gus mengetengahkan bakatnya dalam industri.
“Dialah yang bertanggungjawab untuk salah sebuah watak yang cukup memberi kesan dalam kanvas seni saya. Terima kasih meminjamkan’Chah’ untuk saya, Abang Mamat,” katanya.