KUALA LUMPUR: Minds for Malaysia (M4M) akan menganjurkan program Merapatkan Jurang Kemahiran (Bridging The Skills Gap) yang akan dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad secara maya, Sabtu ini.
Pengerusi M4M, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata, persidangan itu melibatkan ahli panel terdiri daripada pakar-pakar industri institusi pengajian tinggi (IPT), agensi kerajaan, panel antarabangsa daripada Jepun, New Zealand, Indonesia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan berkongsi pengalaman serta nasihat mengenai kemahiran insaniah.
Beliau berkata, program tersebut sangat diperlukan bagi menjamin peluang pekerjaan apabila seseorang penuntut universiti menamatkan pengajian.
“Usaha M4M yang akan bekerjasama dengan pelbagai pihak kerajaan dan swasta dalam program ini adalah seiring dengan usaha membantu mendidik akan kepentingan inovasi digital dan keusahawanan dalam kalangan pelajar dan belia di seluruh negara.
“Oleh itu, adalah diharapkan melalui penganjurannya dapat memberi manfaat kepada semua pihak terutama pelajar, graduan dan belia dalam berdepan cabaran mengenai keperluan menguasai kemahiran baharu serta kebolehpasaran mereka dalam menjamin peluang pekerjaan apabila menamatkan pengajian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turut memberikan ucapan semasa persidangan itu.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz juga dijadualkan bakal berkongsi pandangan menerusi wawancara khas yang akan disiarkan secara maya pada program sama manakala Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan berucap pada sesi penutup persidangan.
Dijangka, lebih 1,000 peserta dari seluruh negara dan dunia akan mengikuti program tersebut. – UTUSAN ONLINE