Lepas, bebas daripada tuduhan tukar barang rampasan: Inspektor nangis teresak-esak - Utusan Malaysia

Lepas, bebas daripada tuduhan tukar barang rampasan: Inspektor nangis teresak-esak

JULIANA Shamsuddin (tengah) berjumpa dengan Khairul Naim (kanan) sebaik sahaja Mahkamah Majistret Klang, Selangor memutuskan melepas dan membebaskan pegawai polis itu daripada pertuduhan menukar barang rampasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor menangis teresak-esak sebaik sahaja Mahkamah Majistret di sini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan menukar barang rampasan disyaki dadah jenis syabu, dua tahun lalu.

Majistret P. Sarulatha memutuskan tertuduh, Inspektor Juliana Shamsuddin dilepas dan dibebaskan pada akhir peringkat pendakwaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes tersebut melampaui keraguan munasabah.

Juliana, 37, bertugas sebagai pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Dalam penghakimannya, Sarulatha berkata, terdapat beberapa kelompongan yang tidak dapat ditutup oleh pihak pendakwaan membabitkan kawalan kunci bilik pegawai penyiasat sehingga menimbulkan tanda tanya.

Selain itu katanya, pihak pendakwaan juga gagal memanggil saksi penting yang disebut pada perbicaraan.

“Pihak pendakwaan hanya bergantung pada keterangan mengikut keadaan. Pertuduhan juga cacat apabila hanya satu daripada 15 paket plastik lutsinar sahaja diuji membuatkan kandungan 14 paket lagi menjadi tanda tanya,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan, Juliana didakwa menukar barang rampasan sebanyak 15 paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 201.2 gram kepada gula batu (sucrose) sebelum dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis dengan niat melindungi seorang individu lelaki daripada hukuman undang-undang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di IPD Klang Selatan, di sini antara pukul 7.30 malam, 4 Januari 2019 sehingga pukul 11.31 pagi, 10 Januari 2019.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.

Seramai sembilan saksi pendakwaan dipanggil sepanjang kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon.

Tertuduh yang ditangkap dan dituduh pada 12 Februari 2020 diwakili peguam bela, Khairul Naim Rafidi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN