KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut manakala, dua cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Safoda, Papar semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, mangsa, Faisal Lorong,49, meninggal dunia dilokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Papar, Roslie Jun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada pukul 10.43 malam dan sepasukan 10 pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, apabila tiba di lokasi kejadian, terdapat seorang mangsa tersepit dalam kemalangan yang membabitkan Toyota Vigo dan Nissan Vanette tersebut.
Pasukan bomba kemudian membantu mengeluarkan mangsa tersepit dan mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak perubatan.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Dua mangsa yang mengalami cedera ringan termasuk anak mangsa, Mohd. Amierul Faisal,15, diberi rawatan awal oleh pasukan khas Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Papar dan Hospital Queen Elizabeth bagi rawatan lanjut.
Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 11.17 malam. -UTUSAN ONLINE