PETALING JAYA: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dengan kesan tetakan pada seluruh badan dipercayai dibunuh dalam bilik sebuah rumah papan di Jalan Kuyuh, Taman Serdang Utama, Seri Kembangan di sini, semalam.
Ini susulan laporan polis diterima berhubung penemuan itu pada pukul 6.07 petang.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, mangsa berusia 43 tahun itu ditemukan terbaring dan terdapat kesan darah.
Katanya, pemeriksaan mendapati beberapa kesan tetakan di kepala, rusuk kanan, belakang badan dan kedua lengannya.
“Tempat kejadian adalah rumah papan satu tingkat yang tidak berpagar.
“Dalam rumah terdapat beberapa bilik yang dibuat menggunakan papan sebagai dinding dan disewakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Anbalagan berkata, siasatan mendapati mangsa yang masih bujang, menyewa bilik itu sejak lima tahun lalu dan bekerja di kedai perabot selama 20 tahun lalu.
Jelasnya, Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Unit Anjing Pengesan (K9) turut berada di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
“Tiada saksi kejadian dikesan setakat ini. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintenden Rozairy di talian 011-11228545.- UTUSAN ONLINE