Lebih RM40b pinjaman pembangunan tahun 2020 tidak digunakan 

Lebih RM40 bilion pinjaman bagi pembangunan tahun 2020 tidak digunakan – PAC

WONG KAH WOH 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dimaklumkan pinjaman kasar untuk tujuan Kumpulan Wang Pembangunan tahun 2020 sebanyak RM48.571 bilion tidak digunakan sepenuhnya untuk tujuan pembangunan. 

Pengerusinya, Wong Kah Woh berkata, hanya 77.53 peratus atau RM37.656 bilion digunakan untuk tujuan pembangunan dan selebihnya digunakan bagi tujuan pelunasan liabiliti dan komitmen jaminan serta perbelanjaan mengurus. 

“Keadaan ini adalah tidak sihat dan tidak dapat mengoptimumkan tujuan peruntukan pembangunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Ipoh Timur daripada DAP itu berkata, pihaknya mengambil perhatian mengenai sejumlah RM98.058 bilion atau 50.4 peratus daripada keseluruhan RM194.555 bilion pinjaman baharu kerajaan digunakan hanya untuk tujuan membayar semula prinsipal hutang tahun lalu. 

“Jumlah ini meningkat sebanyak RM15.345 bilion berbanding jumlah RM82.723 bilion pada tahun 2019. Jumlah ini diramal bertambah beberapa tahun akan datang dan ia membimbangkan apabila kerajaan bergantung kepada pinjaman baharu bagi membiayai bayaran semula prinsipal pinjaman yang matang,” katanya. 

Kenyataan itu hadir selepas PAC mendengar taklimat Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2020, Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan Tahun 2020, hari ini. 

PAC turut dimaklumkan Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran dengan Penegasan Perkara (Emphasis of Matter) telah dikeluarkan oleh Ketua Audit Negara. 

Sementara itu, menurutnya, dalam pengauditan pematuhan terhadap Kementerian dan Jabatan Persekutuan, jumlah semakan audit bagi lapan tajuk pengauditan bernilai RM899.44 juta, sejumlah RM620.07 juta dikesan melibatkan isu pembayaran tidak teratur, kerugian wang awam dan pembaziran seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN). 

“Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM499.18 juta adalah isu pembayaran tidak teratur membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam Projek Rangkaian Trunk Radio Bersepadu Kerajaan dan PAC akan mengadakan prosiding mengenai isu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya