Lebih 500,000 pekebun kecil Risda nikmati RM4,500 sebulan tahun 2025 - Utusan Malaysia

Lebih 500,000 pekebun kecil Risda nikmati RM4,500 sebulan tahun 2025

011121-phg-Risda-Sasar4k-Pendapatan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Pendapatan lebih 500,000 pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di seluruh negara dijangka mencecah RM4,500 sebulan pada 2025.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, usaha dan strategi berterusan dilakukan bagi membolehkan pekebun kecil Risda keluar daripada kepompong kemiskinan.

Menurut beliau, antaranya mewujudkan projek agropolitan ladang sejahtera dan komersial serta penempatan selesa kepada pekebun kecil di seluruh negara.

“Melalui peruntukan sebanyak RM508 juta kepada Risda dalam Bajet 2022 juga memberi impak positif dalam usaha meningkat kualiti hidup pekebun getah di bawah agensi ini.

“Peruntukan ini juga mungkin akan digunakan bagi membina lebih banyak Depo Lateks/Sekerap berbanding sedia ada sebanyak 56 buah di seluruh negara termasuk 14 di Pahang,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas majlis Perasmian Depo Lateks/Sekerap dan Penyerahan Dividen Agropolitan Tanjung Gahai Risda Negeri Pahang di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Seramai 80 peserta menerima lebihan dividen Ladang Agropolitan Gahai sebanyak RM400 seorang dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM32,000.

Pada majlis sama, Wan Rosdy turut menyampaikan bakul makanan kepada 100 penerima dan sumbangan zakat korporat daripada Yayasan Risda.

Tambah beliau, sekiranya pembinaan Depo lateks/sekerap baharu akan menyediakan peluang pekerjaan antara 300 hingga 400 orang penduduk tempatan.

Menurutnya, antara projek agropolitan di bawah KPLB yang di uruskan Risda ialah Agropolitan Gahai, Lipis seluas 202 hektar (ha), Chemomoi, Bentong ( 523 ha), Ganda, Gerik Perak (1,011 ha), Gunung Sadok, Ulu Awik, Betong Sarawak ( 330 ha) dan Rascom Nanga Sekuau, Sibuk, Sarawak seluas 536 ha.

Abdul Rahman berkata, usaha juga dilakukan oleh Risda supaya harga getah RM2.70 sekilogram pada ketika ini dapat ditingkatkan hingga RM3.50 sekilogram yang memberi manfaat kepada pekebun kecil.

Untuk rekod, di Semenanjung sahaja keluasan kebun pekebun kecil Risda adalah 300,000 hektar tidak termasuk kebun persendirian.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya