KOTA TINGGI: Persiapan bakal pengantin menjelang hari bahagia pada November ini tergendala apabila kediaman keluarganya terus dilanda banjir kilat selepas hujan lebat kira-kira dua jam di Kampung Telok Sengat, di sini pada petang semalam.
Menurut Intan Dahira Azman, 30, adiknya, Intan Aina Tasha, 25, bakal melangsungkan majlis pernikahan pada bulan depan dengan pelbagai persiapan kini sudah mula dilakukan termasuk membersihkan rumah serta membeli permaidani baharu sempena majlis itu.
Namun, isu banjir yang telah berlaku lebih 25 tahun lalu terus menghantui mereka sekeluarga kerana kedudukan rumah di kawasan paling rendah.
“Kebiasaannya, air banjir hanya masuk kawasan dapur sahaja dan sampai paras buku lali, tetapi, semalam, air masuk sehingga ke ruang utama rumah dengan pantas dan sekelip mata sahaja sehingga mencecah paras betis orang dewasa.
“Mujur kami sempat mengalihkan kereta, namun, barang-barang lain di dalam rumah memang habis digenangi air termasuk persiapan untuk majlis adik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Kata Intan Dahira, arwah bapanya juga pernah menambak kawasan rumah mereka agar lebih tinggi sebelum ini bagi mengelak banjir memasuki ke dalam rumah yang menyebabkan mereka tidak menyangka hujan lebat semalam akan memberi kesan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Rosleli Jahari berkata, kejadian itu dipercayai ada kaitan dengan sistem perparitan di kawasan berdekatan yang sedang dinaik taraf.
“Kejadian banjir kilat di rumah ini memang sering berlaku berulang kali, tambahan pula kediaman ini terletak simpang jalan dan pada kedudukan paling rendah. Jadi bila hujan lebat air tidak lepas ke laut kerana sistem longkang yang kecil tidak dapat tampung selain ia tidak dinaik taraf, ” katanya. -UTUSAN ONLINE