KUALA LUMPUR: Isteri pelawak, Shuk Sahar, Rossalennah Natassyiah Asshaferah memuat naik status berhubung keretakan rumah tangga mereka yang sedang berlaku.
Mesra disapa Sera, dia memuat naik luahan tersebut menerusi Instastory miliknya yang diulang siar dari akaun TikToknya.
“Sera tiada bagi apa-apa kenyataan kepada mana-mana media pun ya. Kenyataan pihak sana tiada kaitan langsung dengan Sera.
“Suka hatilah nak cakap Sera meroyan ke apa. Kau tahu apa yang kau sudah buat. Masing-masing ada kegilaan, ada gila menipu. Sera lain, kegilaan Sera kalau hilang sabar lain.
“Cukuplah itu. Sera pun tahu setiap proses orang lain, ada cepat dan lambat. Sera lambat sikit sebab bodoh. Tapi alhamdulillah… lambat namun Allah hantar kekuatan dan bukti,” luahnya.
Biarpun dihujan kata semangat dan doa buatnya, Sera juga tidak terlepas daripada kecaman segelintir netizen, tetap bersangka baik dan memaafkan mereka.
“Terima kasih yang mesej beri nasihat serta berkongsi cerita lebih kurang sama, semoga Allah saja boleh balas.
“Untuk yang kecam Sera tidak mengapa. Sera ambil yang baik-baik saja. Yang cakap tidak baik tidak mengapa. Sera tahu dia tidak pernah rasa dan lalui.
“Sera akan fokus saja hal yang boleh membawa ke arah kejayaan. Sera yakin Allah bagi Sera dengan cara ini, jadi kena rajin usaha,” ujarnya lagi.
Terdahulu Sera sudah beberapa kali memaafkan kelakuan suaminya selepas kantoi curang. – UTUSAN