GEORGETOWN: Sebahagian daripada struktur kuil bersejarah Kek Lok Si di Air Itam, dekat sini yang berusia lebih 130 tahun terbakar awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Mohd. Shakir Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada orang awam pukul 2.56 pagi.
Katanya, seramai 15 anggota termasuk bantuan dari BBP Jalan Perak ke lokasi kejadian untuk membantu memadam kebakaran.
Jelas beliau, bomba turut berdepan kesukaran memadam api kerana lokasi tokong itu terletak di atas bukit.
“Kami terpaksa meletakkan jentera di luar dan berjalan kaki sehingga 600 meter untuk ke lokasi kejadian selain kesukaran mendapatkan sumber air,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Shakir berkata, ketika kejadian terdapat empat penjaga tokong di kuil terbabit namun tiada mangsa yang dilaporkan terlibat.
Katanya, kebakaran itu melibatkan kira-kira 70 peratus dari ruang sembahyang dan api dapat dikawal kira-kira pukul 5.30 pagi.
Tambah beliau, punca kejadian masih dalam siasatan.
Kuil Kek Lok Si antara lokasi pelancongan di negeri ini dalam kalangan pengunjung tempatan mahupun pelancong antarabangsa. – UTUSAN ONLINE