KLANG: Kualiti bekalan air bersih dan terawat di Selangor mengikuti piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Izham Hashim berkata, pihaknya memahami kebimbangan pengguna mengenai isu air mentah dari Sungai Klang yang dirawat bagi Skim Bekalan Air Rasau.
Katanya, kerajaan negeri sudah dimaklumkan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) mengenai sistem yang digunakan untuk merawat air tersebut.
“Kita sudah memantau sistem ozon berkenaan yang dilihat bagus dan berkesan untuk merawat air tercemar.
“Justeru, kualiti air bersih yang dibekalkan kepada rakyat negeri ini masih mengikuti piawaian Kementerian Kesihatan dan WHO,” katanya ketika meninjau projek pembinaan Taman Rekreasi Mangrove Point, Pelabuhan Klang di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn. Bhd. (LLSB) yang mengendalikan projek Gerbang Maritim Selangor (SMG), Syaiful Azmen Nordin.
Terdahulu, Air Selangor memaklumkan satu kajian menggunakan sistem ozon digunakan bagi merawat bahan pencemar yang dikenal pasti di Sungai Klang dan kolam-kolam air Rasau.
Kajian itu dilakukan dengan kerjasama syarikat antarabangsa, Veolia Water Technologies yang memiliki kepakaran dalam solusi teknologi rawatan air dan sisa kumbahan.
Hasil penggunaan teknologi sistem itu menunjukkan pengurangan ketara bahan pencemar seperti logam dan bahan organik.
Mengulas lanjut, kata Izham, sistem ozon berkenaan diakui keberkesanannya kerana sudah digunakan secara meluas di Amerika Syarikat.
“Air Selangor menjadi syarikat perintis di Malaysia yang menggunakan teknologi baharu berkenaan setakat ini. Ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk sentiasa menyediakan bekalan air bersih kepada pengguna terutama pada waktu kritikal,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Mangrove Point yang berkonsepkan taman rekreasi hutan paya bakau dijangka dibuka kepada umum pada awal tahun depan.
“Taman seluas 28 hektar dengan kos pembinaan bernilai RM10 juta itu mula dibina sejak 2019 namun tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pembinaan projek SMG itu kini sudah mencapai 80 peratus dan akan siap seperti yang dijadualkan sekitar Januari depan,” katanya.