PUTRAJAYA: Warga pendidik perlu bijak mengadaptasi diri bagi memastikan perkembangan pendidikan sentiasa berada di landasan betul dan relevan dengan kehendak semasa.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid berkata, situasi pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan negara menuntut untuk sentiasa berfikiran kreatif serta proaktif agar tidak mudah mengalah dengan keadaan yang berlaku.
“Sehubungan itu, kita seharusnya melangkah sederap bagi memastikan segala apa yang dirancang dapat disempurnakan serta disesuaikan dengan situasi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
“Usaha ini dapat dijelmakan dari semasa ke semasa melalui penggabungan jalinan aplikasi yang menekankan aspek penglibatan murid secara aktif dan menyeluruh selari dengan aspek 4.6 iaitu murid sebagai pembelajar aktif dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2),” katanya ketika berucap pada perasmian penutup Konvensyen Pendidikan Putrajaya 2021, secara maya hari ini.
Konvensyen tersebut bertemakan Perkongsian Amalan Terbaik Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang dianjurkan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Dalam pada itu, Nor Zamani berkata, amalan terbaik dihasilkan guru seharusnya dapat dimanfaatkan secara optimum dengan menyebar luas dalam pelbagai medium dan aplikasi.
Justeru, katanya, usaha Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya mengadakan konvensyen ini sangat signifikan untuk guru berkongsi segala bentuk pengetahuan, kemahiran, penyelidikan, dapatan dan inovasi yang akhirnya bukan sahaja memberi manfaat kepada murid bahkan kepada dunia pendidikan secara umumnya.
Mengulas lanjut, beliau memuji penganjuran konvensyen tersebut yang mendapat kerjasama dan sokongan padu daripada Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO).
“Usaha jalinan dan jaringan ini mampu mewujudkan kerjasama organisasi secara optimum dalam meningkatkan profesionalisme perguruan khususnya dari aspek pedagogi dan amalan terbaik PdPR untuk semua guru.
“Saya juga berharap semua guru akan mengambil peluang ini untuk terus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran serta meningkatkan kompetensi diri,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE