KMUM: Yuran 4 kursus sarjana muda meningkat - Utusan Malaysia

KMUM: Yuran 4 kursus sarjana muda meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yuran pengajian melibatkan jurusan Sarjana Muda Kewangan, Sarjana Muda Perakaunan dan Sarjana Muda Usuluddin serta Sarjana Muda Syariah dikatakan meningkat antara 38 peratus hingga 128 peratus membabitkan pelajar baharu Universiti Malaya (UM) sesi 2021/2022. 

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dalam satu kenyataan memaklumkan, yuran Sarjana Muda Kewangan meningkat 43 peratus iaitu RM9,740 kepada RM13,900 manakala Sarjana Muda Perakaunan sebanyak 128 peratus (RM7,860 kepada RM17,900).

Sarjana Muda Usuluddin dan Sarjana Muda Syariah pula mengalami pertambahan 38 peratus (RM8,960 kepada RM12,400).

Tambah kenyataan itu, KMUM mendapati ketidakwajaran dalam peningkatan yuran keempat-empat ijazah sarjana muda berkenaan berbanding jurusan Fakulti Kejuruteraan, Sains dan Farmasi apabila kursus ditawarkan adalah program aliran sastera, malah kaedah pengajaran tidak melibatkan penggunaan alatan kendalian amali.

“Ironinya program sastera seperti Sarjana Muda Perniagaan, Sarjana Muda Ekonomi dan Sarjana Muda Undang-Undang tidak pula menunjukkan peningkatan yang besar daripada yuran pengajian sesi 2020/2021 berbanding sesi 2021/2022. 

“Kesatuan berpendirian bahawa ketidakselarasan antara peningkatan yuran pengajian bagi aliran sastera menimbulkan keraguan dalam kalangan mahasiswa. Oleh itu, kami menggesa pihak universiti untuk membuat pertimbangan yang sewajarnya dengan mengkaji semula kadar kenaikan yuran ini,” kata kenyataan itu hari ini.

Pihak KMUM mengambil maklum bahawa yuran pengajian bagi program aliran Sains adalah tinggi jika dibandingkan dengan program aliran Sastera, sebaliknya peningkatan terbaharu dilihat tidak mempunyai alasan yang rasional.

“Oleh itu, pihak KMUM menggesa pihak universiti untuk memberikan pencerahan lanjut berkaitan kenaikan yang melampau ini,” tegas KMUM.

Tambah kenyataan sama, KMUM menggesa pihak universiti untuk tampil memberikan respon balas kepada isu kenaikan yuran pengajian berkuat kuasa kepada pelajar baharu yang bakal mendaftar dan mengkaji semula kenaikan yuran.

“KMUM mencadangkan supaya pihak Jawatankuasa Yuran Universiti menerima dua wakil kami untuk turut serta memberikan buah cadangan dan pandangan dalam perangkaan kenaikan yuran pengajian ini

“Kami bimbang peningkatan yuran ini apabila menjadi bakal menjadi punca mereka untuk tidak membayar kos berkenaan,” kata KMUM. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN