PUTRAJAYA: Kluster berkaitan pendidikan mencatatkan jumlah terbanyak iaitu tiga daripada enam kluster Covid-19 hari ini diikuti dua kluster komuniti dan satu kluster tempat kerja.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster berkaitan pendidikan melibatkan dua kluster pendidikan tinggi iaitu Negeri Sembilan dan Pahang, masing-masing satu kluster manakala satu kluster pendidikan lain di Pulau Pinang.
“Kluster komuniti melibatkan satu di Selangor dan satu di Kelantan manakala satu kluster tempat kerja di Johor.
“Jumlah terbabit menjadikan keseluruhan kluster aktif sebanyak 428 kluster manakala 5,343 kluster yang telah tamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan sedikit penurunan kes positif Covid-19 iaitu 4,979 kes berbanding semalam, 5,854 kes sekali gus diatasi 6,127 kes sembuh.
Selain itu katanya, sebanyak 562 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 326 kes memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP).
“Daripada 4,979 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 85 kes (1.7 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima.
“Bakinya 4,894 kes (98.3 peratus) adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam mencatatkan penurunan jumlah kematian yang dilaporkan iaitu 44 kes berbanding kelmarin, 63 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 28,876 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak lapan daripada empat kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 5,839 kes. – UTUSAN ONLINE