PETALING JAYA: Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia percaya Malaysia tetap memiliki kelebihan berdepan Jepun sekiranya mempertaruhkan gandingan ‘bidan terjun’ dalam saingan Kumpulan D kempen Piala Thomas di Aarhus.
Pertemuan itu akan menentukan juara dan naib juara kumpulan dengan kedua-dua pasukan sudahpun melayakkan diri ke suku akhir selepas menewaskan satu lagi pencabar dalam Kumpulan D, Kanada.
Skuad negara melakukan eksperimen ketika berdepan Kanada, awal pagi tadi apabila menurunkan gandingan pecahan yang menyaksikan Aaron berpasangan bersama Goh Sze Fei manakala Soh Wooi Yik digandingan dengan Nur Izzuddin Rumsani dengan masing-masing menyumbang mata ketika menang 5-0.
Jepun juga melakukan perkara sama dengan menyenaraikan gandingan bidan terjun ketika bertemu Kanada yang menyaksikan mereka menang 4-1, Ahad lalu.
Bagi Aaron, dia menyerahkan kepada barisan kejurulatihan untuk menentukan sama ada dia akan kembali bergandingan bersama Wooi Yik atau tidak pada pertemuan dengan Jepun.
“Saya rasa ini akan menjadi salah satu strategi untuk pasukan, namun, sekiranya scratch pair sekalipun, saya percaya kelebihan tetap ada.
“Saya juga tidak mempunyai masalah untuk berpasangan dengan Sze Fei kerana kami pernah bermain bersama sebelum ini.
“Apa yang paling penting, kami buat yang terbaik untuk cuba mencipta kemenangan menentang Jepun,” kata Aaron.
Sementara itu, tumpuan juga akan terarah terhadap pertembungan membabitkan pemain perseorangan lelaki utama kedua-dua pasukan dengan jaguh negara, Lee Zii Jia dijangka menentang pemain nombor satu dunia, Kento Momota.
Jika menjadi kenyataan, ia akan menjadi pertemuan ketiga buat kedua-dua pemain berkenaan dalam tempoh tiga minggu selepas dua kali bertemu di Piala Sudirman di Finland, dua minggu lalu.