PETALING JAYA: Usahawan dan penyanyi rap terkenal, Caprice terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami sakit dada ketika bangun, pagi semalam.
Menerusi entri Instagram, penyanyi lagu Xde Hal Bro itu memaklumkan perkhabaran tersebut menerusi Instastory miliknya.
Menurut Caprice, dia mengalami detik cemas apabila berdepan kesukaran untuk bercakap dan hampir seluruh badannya kebas.
“Terjaga dari tidur pukul 8 pagi tadi (semalam) dengan sakit dada yang teruk. Malah, seluruh bahagian kanan badan saya rasa kebas.
“Sakitnya berbeza daripada apa yang saya alami di Jordan dan di Kuala Lumpur sebelum ini. Kita fikir serangan jantung atau strok.
“Alhamdulillah, ambulans datang tepat pada masanya dan bergegas menghantar saya ke hospital,” kongsinya di Instastory.
Selepas menjalani pemeriksaan, Caprice memaklumkan mengalami simptom awal penyakit kelenjar tiroid yang mengakibatkan kesukaran untuk tidur serta sesak nafas, sebelum ini.
Terdahulu, penyanyi itu telah dimasukkan ke salahs sebuah hospital di Jordan akibat mengalami demam dan serangan panik selepas mendapatkan suntikan vaksinasi lengkap Covid-19.