LONDON: Legenda UFC, Khabib Nurmagomedov mengakui jika berada dalam keadaan sangat tertekan dia akan bersedia untuk bertarung dan situasi itu berlaku ketika berdepan penyokong Liverpool yang mabuk di Anfield, Ahad lalu.
Khabib turut menjadi penonton dalam perlawanan yang menyaksikan skuad Reds dan Manchester City terikat 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang turut menyaksikan Mohamed Salah meledak gol menakjubkan.
Bekas jaguh Rusia itu mendedahkan detik dia berasa tidak selesa di tempat umum dan salah satunya pada perlawanan EPL, baru-baru ini.
“Ketika saya ke McDonald, saya rasa tertekan kerana ada yang merakam gambar saya. Saya bercakap mengenainya ketika ceramah di Harrogate, Yorkshire.
“Jika saya keluar bersama rakan, saya kata ‘anda perlu perhatikan saya. Apabila saya ke Anfield, saya tersekat dalam kalangan ribuan penyokong Liverpool yang mabuk’.
“Saya tak boleh bergerak. Ia seperti trafik orang ramai, saya rasa tertekan. Ramai di antara mereka seperti, ‘ooh, Khabib’ tetapi mereka tidak memahami siapa saya. Sudah tentu saya rasa sangat tertekan dan saya sedia bertarung ketika itu,” jelasnya.
Khabib bergambar dengan Sir Alex Ferguson dan berbual dengan Paul Pogba di Old Trafford pada hari Sabtu lepas.
“Saya ke stadium untuk menikmati keindahan perlawanan. Hari ini (Ahad lalu) sangat bahaya ketika saya bersama penyokong Liverpool tetapi ia menyeronokkan dan saya sedia bertarung.
“Suasana di Anfield sangat menakjubkan tetapi debaran perlawanan lebih hebat. Manchester, Liverpool saya tidak peduli, saya hanya sukakan bola sepak.
“Menyaksikan perlawanan ini tanpa berkelip mata dan anda boleh sokong mana-mana pasukan yang anda mahu,” katanya.- AGENSI