KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata beliau tidak ada masalah dengan penangguhan pembentangan undang-undang (RUU) bagi meminda Perlembagaan Persekutuan berkenaan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Penangguhan itu tiada masalah dan saya telahpun dimaklumkan oleh Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) mengenai beberapa perkara dalam Artikel 1(60) mengenai definisi “federation” yang perlu diperjelas dan diperhalusi.
Abang Johari berkata demikian kepada pemberita selepas beliau merasmikan Persidangan Antarabangsa Ke-2 Mengenai Sains Sosial dan Kemanusiaan 2021 di sini hari ini.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata beliau secara peribadi rasa kecewa sedikit dengan penangguhan itu.
Beliau berkata, sepatutnya rang undang-undang itu dapat diaturkan dan juga terus dibentangkan pada persidangan kali ini, iaitu semalam tetapi memandangkan ada lagi ahli-ahli Kabinet yang masih memerlukan sedikit sebanyak penerangan terperinci mengenai rang undang-undang itu.
“Oleh sebab itu saya difahamkan pembentangannya terpaksa ditunda ke persidangan Parlimen yang akan datang.
“Harapan saya ia tidaklah terus hilang kerana apa yang telah diusahakan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Dr Wan Junaidi untuk memastikan hak-hak yang telah terhakis dan juga perkara-perkara di dalam Perlembangaan Persekutuan yang mungkin tidak begitu tepat.
Abdul Karim berkata, satu daripadanya adalah takrif persekutuan kerana kalau dalam Perlembagaan Persekutuan, definisi persekutuan itu merujuk kepada persekutuan pada tahun 1957 ketika Malaysia belum lagi ditubuhkan.
“Jadi apakah yang terjadi dengan Persekutuan Malaysia yang membabitkan Sabah dan Sarawak? Sebab itu lah ia (Perlembagaan Persekutuan) perlu dipinda,” katanya.
Abdul Karim berkata sepatutnya menteri-menteri yang tidak faham perlu baca rang undang-undang berkenaan dan tidak perlu huraian secara terperinci lagi.
Bagaimanapun, beliau berharap rang undang-undang berkenaan dapat dibentangkan di Parlimen akan datang. -UTUSAN ONLINE