PETALING JAYA : Perasaan ingin mendakap trofi Piala Malaysia semakin membara buat penyerang Terengganu FC II, Jordan Mintah selepas memahami sejarah sebenar kejohanan itu.
Pemain kelahiran Ghana itu, pada awalnya tidak mengetahui tenatang sejarah dan kepentingan Piala Malaysia sehingga diberitahu oleh penyokong Sang Penyu.
Mintah merasakan sudah sampai masanya untuk dia memburu trofi ini buat penyokong Terengganu yang nyata telah menanti selama 20 tahun selepas kali terakhir menjuarai Piala Malaysia pada 2001.
“Sebenarnya saya mula tahu mengenai sejarah Piala Malaysia ini apabila ada penyokong menceritakan kepada saya bahawa ini adalah kejohanan yang paling besar di negara ini.
“Jadi, mereka nak saya tolong pasukan untuk mendapatkan trofi ini dan memberitahu saya betapa istimewanya piala ini untuk mereka.
“Sudah pasti apabila saya tahu, saya semakin bersemangat untuk melakukan yang terbaik bagi menghadiahkan piala ini kepada penyokong sebab pada mulanya, saya tidak dapat gambaran sebenar sejauh mana bermaknanya piala ini,” katanya.