PARIT: Limpahan air dari bukit berikutan hujan lebat menyebabkan laluan di Lebuhraya Ipoh Lumut berhadapan Rancangan Perumahan Awam (RPA) Changkat Sodang di sini dinaiki air sedalam kira-kira satu meter hari ini.
Kejadian menyebabkan laluan menghala ke Lumut tidak boleh dilalui kenderaan dan menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang lebih 1.5 kilometer.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso berkata, hujan lebat mengakibatkan banjir kilat apabila air dari kawasan perumahan di atas bukit berhampiran, melimpah ke jalan raya.
Menurutnya, hanya laluan menghala ke Lumut yang dinaiki air manakala laluan menghala ke Seri Iskandar boleh dilalui kenderaan dan anggota polis telah diarah mengawal lalu lintas.
“Kejadian berlaku pada sekitar pukul 5 petang tadi di hadapan RPA Changkat Sodang arah Lumut manakala laluan ke Seri Iskandar tidak terlibat.
“Laluan arah ke Seri Iskandar dijadikan dua arah iaitu laluan kontra dan dikawal anggota trafik,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, ketika ini kenderaan sudah mula bergerak selepas laluan dua arah dibuka dan lalu lintas terkawal setakat ini.
“Saya menasihatkan pengguna laluan ini agar memperlahankan kenderaan dan mematuhi arahan lalu lintas serta berhati-hati memandu,” katanya. – UTUSAN ONLINE