SEREMBAN: Tahap kesedaran masyarakat di negara ini berhubung sistem amaran awam masih rendah termasuk keperluan untuk mereka mengambil tindakan sewajarnya ketika menghadapi situasi kecemasan dan bencana.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dr. Norhafifi Ismail berkata, keadaan tersebut antara lain disebabkan oleh kebanyakan lokasi di negara ini masih belum dilengkapi sistem amaran awam dan hanya separuh sahaja rakyat yang menyedari tentang sistem berkenaan.
“Rata-rata rakyat di negara ini masih belum mengetahui dan terdapat lokasi yang belum lagi dilengkapi dengan sistem amaran awam.
“Bermula tahun ini, kami mahu menggalakkan orang awam dan melatih mereka untuk bertindak bagi menyelamatkan diri dan pelbagai latihan pertolongan cemas. APM juga akan mendedahkan kepada bunyi dan siren amaran kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjalankan ujian siren bagi zon selatan di Pejabat APM Negeri Sembilan di sini hari ini.
Norhafifi dalam pada itu menjelaskan pemasangan sistem amaran awam di seluruh negara melibatkan peruntukan sebanyak RM540 juta yang dijalankan secara berperingkat bagi tempoh tiga tahun.
“Sistem ini memberi amaran awal kepada rakyat apabila bencana berlaku, semua mangsa yang terlibat dapat keluar dari bangunan atau premis apabila mendengar bunyi berkenaan.
“APM akan menggunakan siren secara mobil di mana ia boleh digunakan di mana-mana dan pada bila-bila masa bencana berlaku,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE