Kes saman Siti Nordiana mungkin selesai secara baik - Utusan Malaysia

Kes saman Siti Nordiana mungkin selesai secara baik

SITI NORDIANA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, tuntutan saman RM2.5 juta penyanyi Siti Nordiana Alias terhadap lima defendan termasuk dua rakan artis atas dakwaan memfitnahnya di platform Instagram, mungkin diselesaikan secara baik tanpa menerusi perbicaraan.

Perkembangan itu dimaklumkan kepada Hakim Zulqarnain Hassan oleh peguam-peguam yang mewakili pihak-pihak berbalah sebelum perbicaraan didengar hari ini.

Sehubungan itu, mahkamah menangguhkan perbicaraan dan menetapkan 20 Oktober ini bagi mengetahui hasil perbincangan peguam-peguam pihak plaintif (Siti Nordiana) dan kelima-lima defendan.

Siti Nordiana atau lebih dikenali sebagai Nana menyaman kelima-lima defendan termasuk penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 36, dan isterinya, Nur Sheila Hassim, 36, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 35.

Dua lagi ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 42.

Dalam prosiding hari ini, peguam Azlan Abdul Razak mewakili Lan Solo, isteri dan Syura manakala Datuk Wan Azmir Wan Majid dan Nurul Hafidzah Hassan mewakili Sam Musyadzafar dan Razidah.

Terdahulu, peguam defendan-defendan memaklumkan akan mengadakan perbincangan dengan anak guam sama ada wujud kemungkinan kes saman itu diselesaikan di luar mahkamah.

Selain itu, pihak defendan baru menerima pernyataan saksi plantif semalam dan memerlukan masa untuk menelitinya serta mendapatkan arahan daripada anak guam.

Azlan menyatakan, asas tuntutan saman ialah berdasarkan kata-kata fitnah daripada individu-individu yang saling mengenali dalam industri hiburan.

Menurutnya, penyelesaian di luar mahkamah tanpa melalui proses perbicaraan dan prosedur yang ketat boleh dicapai secara toleransi atas nama persahabatan.

Dalam pada itu, peguam Abang Azlan Abang Ariffin dan Ahmad Syaifulbakri Mohamed yang mewakili Siti Nordiana turut memaklumkan anak guamnya terbuka untuk berbincang mengenai penyelesaian kes saman tersebut.

Mahkamah sepatutnya mula mendengar perbicaraan kes saman Siti Nordiana terhadap lima defendan bagi menuntut ganti rugi RM2.5 juta atas dakwaan memfitnahnya secara langsung dalam laman Instragram.

Dalam saman tersebut, Siti Nordiana menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta RM500,000 daripada setiap defendan.

Menurut writ saman yang dihantar secara e-mel, beberapa perkara telah dinyatakan iaitu permohonan maaf secara terbuka dalam media sosial dan terbitan akhbar serta tuntutan ganti rugi RM500,000 daripada setiap defendan yang secara keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta.

Selain itu, terdapat juga tiga lagi tuntutan iaitu ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas yang akan dinilai serta ditentukan oleh pihak mahkamah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN