PETALING JAYA: Sejumlah 1095 kes demam denggi dilaporkan sehingga minggu epid 41 (16 Oktober 2021). Jumlah ini dilihat menurun sebanyak 62 peratus berbanding tahun 2020 dengan 3,395 kes di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Sehingga kini, tiada kes kematian akibat demam denggi dilaporkan di kawasan MBPJ. Bagi di Daerah Petaling, MBPJ mencatatkan bilangan kes yang terendah iaitu sejumlah 1095 kes berbanding dua PBT yang lain.
MBPJ dalam satu kenyataan memberitahu, sebanyak 16 lokaliti wabak aktif dilaporkan iaitu 12 wabak terkawal, 2 lokaliti wabak tidak terkawal dan 2 lokaliti wabak hotspot. Sebanyak 4 lokaliti wabak di laporkan di DUN Bukit Gasing, 3 lokaliti wabak di DUN Kampung Tunku dan Bukit Lanjan, 2 lokaliti wabak di DUN Seri Setia dan Taman Medan manakala bagi DUN Bandar Utama, DUN Kota Damansara dan DUN Bukit Lanjan masing-masing mencatatkan 1 lokaliti wabak.
Sejumlah 51 kes denggi dilaporkan dari kesemua lokaliti wabak tersebut dimana lokaliti Flat Desaria PJS 5 mencatatkan bilangan kes paling tinggi iaitu sebanyak 13 kes manakala lokaliti Seksyen 14 mencatatkan sebanyak 12 kes denggi.
Kedua–dua lokaliti ini adalah lokaliti wabak hotspot dengan tempoh wabak melebihi 30 hari.
Sehingga Oktober 2021, bilangan kes demam denggi yang dicatatkan di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya adalah dibawah 50 kes seminggu.
Walaubagaimanapun, memandangkan terdapat pergerakan yang tinggi selepas negeri Selangor memasuki PPN Fasa 4, lonjakkan kes semasa mungkin akan meningkat.
Ia juga di tambah dengan faktor keadaan cuaca yang hujan menyebabkan peningkatan pembiakan nyamuk.
Bagi mengelakkan peningkatan kes demam denggi, usaha di peringkat Majlis sentiasa dipergiatkan seperti pemeriksaan tempat pembiakan nyamuk dari rumah ke rumah, larvaciding dan semburan ruang termal serta semburan ULV.
Namun. Majlis amat berharap masyarakat Petaling Jaya dapat memberi kerjasama dengan memeriksa dan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di kawasan dalam dan luar rumah serta memastikan semua bekas air yang bertakung ditutup dengan sempurna dan dimasukkan ubat Abate bagi mengelakkan pembiakan jentik-jentik terutamanya ketika penghuni pergi bercuti
dan tiada di rumah.
Bagi masyarakat yang sentiasa berada di luar rumah, mereka disarankan menggunakan repellent terutamanhya pada waktu subuh dan senja bagi mengelakkan diri dari gigitan nyamuk. Masyarakat juga boleh mengunakan ubat semburan aerosol bagi mematikan nyamuk dewasa di dalam rumah.