Kes dadah Zarina Anjoulie ditetapkan semula 11 November  - Utusan Malaysia

Kes dadah Zarina Anjoulie ditetapkan semula 11 November 

 ZARINA Anjoulie hadir di Mahkamah Majistret Seremban hari ini berhubung pertuduhan menggunakan dadah jenis methamphetamine terhadapnya pada bulan Jun lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 11 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes dadah melibatkan selebriti sensasi, Zarina Anjoulie pada Jun lalu. 

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Majisteret, Mohd Firdaus Salleh, selepas proses penyerahan dokumen selesai dilakukan hari ini. 

Terdahulu, Zarina atau nama penuhnya, Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul, 34, tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Seremban pada pukul 8.40 pagi dengan berpakaian jubah lengkap dengan selendang hitam bersama dua peguamnya. 

Pada prosiding itu, pihak pembelaan telah menerima dokumen berhubung kes tersebut daripada pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Zainul Hashimi. 

Ia diserahkan pihak pendakwaan kepada peguam yang mewakili pasangan selebriti itu, Ahmad Faiz Munawar dan Fadhli Sutris. 

Menurut Ahmad Faiz, prosiding kali ini hanya melibatkan penyerahan dokumen sahaja. 

“Hari ini hanya penyerahan dokumen dan mahkamah telah menetapkan 11 November 2021 sebagai tarikh sebutan semula untuk dokumentasi selepas kita menghantar representasi secepat mungkin. 

“Kemungkinan tarikh 11 November itu untuk keputusan atau kemungkinan dilanjutkan (tarikh sebutan) sekiranya keputusan tidak diperoleh,” katanya ketika ditemui selepas prosiding selesai di Mahkamah Majistret di sini hari ini. 

Jelas Ahmad Faiz, dalam masa yang sama, pihaknya akan menghantar repsentasi kepada Jabatan Peguam Negara secepat mungkin.

Sementara itu, pada 13 September lalu, Zarina didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menggunakan dadah jenis Methamphetamine pada Jun lalu. 

Mengikut pertuduhan, Zarina yang mempunyai didakwa menggunakan dadah jenis Methamphetamine dan air kencingnya didapati positif dadah jenis tersebut. 

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.  – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN