KUCHING: Penubuhan Kerusi Pehin Sri Adenan Satem di Universiti Putra Malaysia (UPM) akan merealisasikan usaha mewujudkan pangkalan data mengenai komuniti Borneo yang boleh membantu mengembangkan kajian mengenai etnik Borneo.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerusi penyelidikan ini merupakan usaha yang sangat murni sebagai penghargaan universiti kepada perjuangan bekas ketua menteri itu sebagai anak Sarawak.
Beliau berkata, semasa hayatnya Tok Nan telah membawa kemajuan kepada masyarakat Sarawak atas nama perpaduan, tanpa mengira kaum atau agama.
“Kami berharap dana yang diberi oleh kerajaan negeri dapat digunakan dalam penyelidikan, khususnya untuk pembangunan masyarakat Sarawak,” kata Abdul Karim pada majlis perasmian Kerusi Satem Pehin Sri Adenan dan perasmian Persidangan Antarabangsa Kedua Mengenai Sains Sosial dan Kemanusiaan 2021 (ICOSSH 2021) di sini hari ini.
Turut diadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak, iaitu UPM diwakili Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Ir. Dr. B.T. Hang Tuah Baharudin manakala Abdul Karim mewakili Kerajaan Negeri Sarawak.
Beliau berkata, penemuan penyelidikan akhirnya akan membantu kerajaan negeri dalam menggubal dasar-dasarnya.
Kerusi Pehin Sri Adenan Satem akan ditempatkan di bawah Pusat Penyelidikan Etnik Borneo dan diuruskan oleh Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains di UPM Kampus Bintulu Sarawak dengan statusnya sebagai pusat penyelidikan dan fakulti yang pakar dalam penyelidikan sains sosial mengenai kumpulan etnik Borneo di Sarawak.
Abdul Karim berkata, dana penyelidikan itu akan disalurkan melalui Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak yang diterajui oleh beliau sendiri, dengan suntikan awal RM2.54 juta untuk tiga tahun pertama.
“Dengan pembiayaan ini, saya berharap pangkalan data etnik Borneo dapat direalisasikan.
“Di peringkat kementerian, saya amat berbangga dengan UPM Kampus Bintulu Sarawak kerana inisiatif ini akan membuat pembaharuan yang ketara di Sarawak dan menjadikan nama lagenda seperti Tok Nan (Adenan Satem) sebagai ikon dalam penyelidikan etnik Sarawak,” katanya.
Mengenai penganjuran Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan Kedua 20121 anjuran UPM Kampus Bintulu Sarawak, beliau memuji usaha berkenaan bagi menonjolkan budaya Sarawak dan Borneo dan amat penting kepada kerajaan negeri dalam memperkenalkan Sarawak kepada dunia.
Beliau berkata dapatan persidangan ini perlu disimpan dalam bentuk pangkalan data sebagai rujukan kepada penyelidik dan kerajaan negeri untuk menggubal dasar pembangunan negeri.- UTUSAN ONLINE