SHAH ALAM: Kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal Air Selangor di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) bermula pada pukul 9 pagi tadi mengikut jadual seperti yang diumumkan pada 1 Oktober lalu.
Air Selangor menerusi kenyataannya memaklumkan, kerja-kerja penyelenggaraan aset utama tersebut dijangka siap pada pukul 11 malam ini.
Katanya, bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada para pengguna bermula pukul 5 petang esok setelah sistem bekalan air distabilkan.
“Tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 9 malam, 16 Oktober,” katanya.
Menurutnya lagi, senarai lengkap kawasan-kawasan yang terjejas, Pili Air Awam dan Stesen Pengisian Air Komersial boleh didapati di laman pautan hentitugas.airselangor.com.
“Air Selangor akan menyediakan bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki ke premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta untuk upacara pengebumian.
“Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300,” ujarnya.
Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. – UTUSAN ONLINE